suria

Lelaki ditahan polis, tergamak heret kaki ibu 94 tahun turun tangga sampai maut... Alasan nak cepat bawa ke tandas!

SEORANG lelaki ditahan polis selepas disyaki menyebabkan kematian ibunya yang berusia 94 tahun dengan mengheret mangsa menuruni tangga di rumah mereka.

Menurut polis, suspek berusia 64 tahun itu dipercayai menarik kedua-dua kaki mangsa sebelum mengheretnya dari tingkat dua ke tingkat bawah kediaman.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 pagi Ahad di sebuah kediaman di kawasan Narita Higashi, Wad Suginami, Tokyo, Jepun.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami gegaran kuat di bahagian belakang kepala selepas terhentak pada tangga sebelum tidak sedarkan diri.

Suspek kemudiannya menghubungi talian kecemasan 119, namun warga emas itu disahkan meninggal dunia pada hari sama.

Polis memaklumkan mangsa menghidap demensia dan dijaga oleh anak lelakinya.

Ketika disoal siasat, suspek menafikan tuduhan mendakwa dia mengheret ibunya selepas wanita itu membuang air tanpa sengaja dan dia mahu membawanya ke tandas.

Menurutnya, dia menyangka cara tersebut paling cepat untuk ke tandas di tingkat bawah selain mendakwa tidak menyedari tindakannya itu merupakan satu bentuk serangan.

Polis percaya suspek berkemungkinan mengalami tekanan dan keletihan akibat menjaga wanita warga emas dalam keadaan uzur. -Agensi

Artikel Lain