SEORANG wanita melalui detik cukup menakutkan apabila terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri dan ajaibnya dia terselamat daripada maut.
Tukang cuci berusia 44 tahun itu terhempas ke tanah selepas terjatuh semasa membantu suaminya memasang tingkap untuk pelanggan.
Walaupun jatuh dari ketinggian lebih 30 meter, Peng Huifang bukan sahaja terselamat, malah sempat menjerit kepada suaminya 'saya belum mati'.
Kejadian berlaku pada 13 Mei lalu apabila Peng membantu suaminya, seorang pengusaha perniagaan tingkap, dalam kerja pemasangan di tingkat 12 sebuah pangsapuri di wilayah Jiangxi, China.
Tragedi bermula apabila tingkap berat yang diangkat menggunakan kren dari bawah bangunan tersangkut pada dahan pokok dan terjatuh.
Ia telah menarik kren dan Peng yang sedang memegang alat kawalan jauh.
“Saya cuma fikir mati, saya akan tinggalkan dunia ini selama-lamanya,” katanya mengimbas detik cemas itu.
Peng terselamat kerana terjatuh pada awning (peneduh) terlebih dahulu sebelum jatuh ke tanah.
Dia segera dikejarkan ke Hospital Gabungan Kedua Universiti Nanchang dan menjalani pembedahan akibat pelbagai kecederaan serius termasuk patah tulang di kedua-dua kaki dan bawah tulang belakang.
Bagaimanapun, bahagian atas badannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Doktor optimis dengan tahap pemulihannya dan menjangkakan Peng akan dapat berjalan semula secara normal dalam tempoh kira-kira enam bulan.
Dalam satu kenyataan, Peng meluahkan kekesalan kerana tidak mematuhi prosedur keselamatan dan berharap kisahnya menjadi peringatan kepada orang lain yang bekerja di tempat tinggi agar lebih berwaspada.
“Kejadian ini sepenuhnya berpunca daripada kegagalan kami mengendalikan peralatan dengan betul. Ia tiada kaitan dengan pelanggan,” katanya.
Setakat ini, keluarganya telah membelanjakan lebih 70,000 yuan (kira-kira RM45,000) untuk rawatan dan sedang mencari bantuan kewangan bagi menampung kos pemulihan jangka panjang. -Agensi