suria

Padah cakar pegawai polis, kucing American Shorthair ‘ditahan’ di balai! Siap ada ‘mugshot’ macam penjenayah

Kucing ini diambil gambar seperti pesalah jenayah.

GELAGAT seekor kucing mencuit hati warga maya apabila ia 'ditahan' selepas berulang kali menyerang pegawai polis.

Perkara itu tular selepas seorang pegawai polis Bangkok, Thailand yang dikenali sebagai Da Parinda Pakeesuk berkongsi kisah 'suspek', seekor kucing American Shorthair yang terlepas daripada jagaan tuannya.

Pakeesuk menyambut mesra kucing itu masuk ke balai dan menjaganya.

Dengan memakai abah-abah merah jambu yang comel, kucing itu bagaimanapun bertindak agresif dengan mencakar dan menggigit beberapa pegawai yang bertugas.

"Kucing ini didakwa menyerang pegawai polis dan akan ditahan. Tolong kongsikan siaran ini supaya pemiliknya boleh datang dan menyelamatkannya," tulis Pakeesuk dalam hantaran ringkas di media sosial.

Hantaran yang dibuatnya itu mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Seorang daripadanya tampil meninggalkan komen lucu dengan berkata: "Kucing itu kelihatan seperti berkerut dahi, nampaknya ia tidak terlalu berterima kasih atas penyelamatannya.

"Hei kitty, tanpa pegawai ini, anda akan kehilangan tempat tinggal sekarang!"

Pakeesuk memberitahu bahawa dia telah menyediakan makanan dan mainan yang selesa untuk tetamu yang tidak dijangka itu.

Selepas posting berkenaan tular, sehari kemudian, pemiliknya menghubungi balai polis.

Menurut media Khaosod, kucing itu diberi nama Nub Tang, yang bermaksud 'pengira wang'.

Susulan penemuan semula dengan tuannya, Pakeesuk merangka 'laporan polis' menggunakan watak kucing itu, dengan menyatakan: "Saya hanya lapar. Saya tidak bermaksud menggigit sesiapa."

Nub Tang 'menandatangani' laporan itu dengan dua cetakan kaki yang comel dan juga bergambar seperti pesalah. -Agensi

Artikel Lain