suria

Tak cukup vitamin D, ‘puteri lilin’ alami retak tulang… Rupanya takut matahari, berkelubung sejak kecil

Seorang wanita alami kekurangan vitamin D kerana elak terkena cahaya matahari. -Foto SCMP

GARA-GARA enggan terdedah kepada cahaya matahari, seorang wanita mengalami keretakan tulang selepas tergolek dari katil ketika tidur.

Insiden tersebut didakwa sebagai kesan sampingan daripada tabiatnya yang mengelak sepenuhnya daripada terdedah kepada sinaran matahari.

Hasil pemeriksaan mendapati paras vitamin D dalam badannya sangat rendah, menyebabkan penyusutan tulang yang cepat dan seterusnya terjadinya osteoporosis.

Wanita berusia 48 tahun itu memilih untuk sentiasa 'berkelubung', tidak pernah memakai baju lengan pendek sepanjang hidupnya, serta sentiasa menggunakan krim pelindung matahari.

Dr Long Shuang, seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Perubatan Tradisional Cina XinDu, berkongsi kisah ini yang berlaku di Sichuan, barat daya China, pada 14 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai rupanya silap cara pakai sunscreen, doktor kongsi cara betul! Tak cukup sekadar sapu pada kulit

Kajian juga mendapati bahawa cahaya matahari membantu dalam proses penyerapan kalsium ke dalam tulang.

Walaupun pendedahan berlebihan kepada matahari dikaitkan dengan risiko kanser, kekurangan sumber vitamin D semula jadi boleh menurunkan sistem imun dalam badan.

Melihat fenomena ini yang semakin menjadi trend di negara tersebut, Ketua Pakar Bedah Tulang Belakang Ortopedik di Hospital Gabungan Kedua Universiti Perubatan Guangzhou, Jiang Xiaobing, memberi amaran melalui rakaman video.

"Tulang dalam badan dijana semula setiap 10 tahun, namun sejak usia 30 tahun, kita akan kehilangan jisim tulang pada kadar 0.5 hingga 1 peratus setiap tahun," jelasnya.

Beliau turut berkongsi tip untuk gaya hidup yang seimbang.

"Pastikan pengambilan kalsium mencukupi, rajin bersenam, dan mengehadkan pengambilan rokok dan alkohol, terutamanya bagi wanita yang sudah menopause," nasihatnya. -Agensi

Artikel Lain