SEORANG remaja terkejut apabila dia mula mengalami masalah kecelaruan identiti apabila berlaku perubahan mendadak daripada sudut dalaman mahupun fizikal.
Remaja berusia 16 tahun itu pada asalnya dilahirkan sebagai seorang perempuan, namun fizikalnya semakin cenderung menyerupai lelaki sejak Mac lalu.
Setelah menjalani pemeriksaan, dia disyaki menghidap penyakit dikenali sebagai Differences in Sex Development (DSD), satu keadaan yang melibatkan faktor genetik, perubahan hormon, serta kelainan pada alat pembiakan.
Nenek remaja itu, dikenali sebagai Sarta, 69, mendakwa kekangan ekonomi yang dihadapi membataskan akses kepada rawatan yang lebih canggih untuk cucunya itu.
"Entah berapa kali kami ke hospital, masih tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku kepadanya.
"Saya pun hairan kerana dia dikategorikan sebagai perempuan dalam sijil lahirnya. Bagaimana jika ternyata jantina sebenarnya adalah lelaki?" ujarnya, meluahkan kebimbangan.
Pegawai Perhubungan Awam Hospital Karawang di Indonesia, Lutfi, mendedahkan rekod pemeriksaan pesakit tersebut.
"Hasil ujian Ultrasonografi (USG) dan urologi mendapati ada kejanggalan pada bahagian kemaluan," katanya.
Bukan itu sahaja, organ remaja tersebut juga dilaporkan tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya, malah terdapat penemuan lain yang lebih mengejutkan.
Kata Lutfi remaja berkenaan disahkan tidak memiliki rahim seperti perempuan lain.-Agensi