Ikan oar naik ke permukaan, media sosial Jepun mula cemas tsunami, gempa - Dunia | mStar

Ikan oar naik ke permukaan, media sosial Jepun mula cemas tsunami, gempa

MEDIA sosial Jepun cemas susulan penemuan beberapa ekor ikan laut dalam yang secara tradisinya dianggap memberi petunjuk kepada bencana alam.

Pada Isnin, seekor ikan oar yang berukuran hampir empat meter panjang ditemui tersangkut pada jala ikan di pelabuhan Imizu, wilayah utara pantai Toyama.

Ikan yang sudah mati itu kemudian dibawa ke Uozu Aquarium berhampiran untuk tujuan kaji selidik.

Dua lagi ikan yang hampir sama ditemui di Toyama Bay sembilan hari sebelum itu. Rekod menunjukkan empat ekor ikan oar ditemui di Toyama Bay pada tahun 2015.

-foto Alamy

Spesies ini yang mempunyai ciri badan panjang berwarna perak dan sirip merah biasanya mendiami laut dalam dan jarang-jarang dilihat di permukaan.

Legenda menyatakan bahawa apabila ikan oar timbul ke perairan cetek, itu bermakna bencana sudah hampir.

Malah, nama tradisional Jepun untuk spesies ini, iaitu 'ryugu no tukai' yang bermaksud 'utusan dari istana raja naga' menunjukkan kaitannya dengan bencana alam pada masa lalu.

Menurut kepercayaan tradisi, ikan jenis ini akan naik sendiri ke permukaan dan pantai menjelang gempa bumi.

Kaitannya dengan teori-teori saintifik adalah, ikan yang berada jauh di bawah mungkin sangat mudah terdedah kepada pergerakan garis seismik dan bertindak dengan cara yang tidak wajar sebelum gempa bumi.

Seorang profesor ilmu ichthyology di Universiti Kagoshima, Hiroyuki Motomura mempunyai penjelasan mudah berhubung penemuan ikan oar baru-baru ini.

"Saya mempunyai sekitar 20 spesimen ikan ini dalam koleksi jadi ia bukan spesies yang sangat jarang, tetapi saya percaya ikan ini cenderung naik ke permukaan apabila keadaan fizikal mereka lemah, peningkatan arus air, itulah sebabnya ia sering mati apabila ditemui," katanya.

"Laporan yang mengaitkannya dengan aktiviti seismik sudah ada bertahun-tahun, tetapi tidak ada bukti saintifik mengenai perkaitan ini, jadi saya tak fikir orang ramai perlu bimbang."

Bagaimanapun, reputasi ikan oar sebagai petunjuk bencana pasti meningkat selepas sekurang-kurangnya 10 ikan oar terdampar di sepanjang pantai utara Jepun pada 2010.

-foto EPA

Pada Mac 2011, gempa bumi magnitud 9 melanda timur laut Jepun, mencetuskan tsunami besar yang membunuh hampir 19,000 orang selain memusnahkan kilang nuklear Fukushima.

Justeru, setiap kali timbulnya ikan oar, orang ramai terutama di media sosial akan mengaitkannya dengan bencana tersebut.

Satu mesej di Twitter mendakwa: "Ini tidak dapat dinafikan bukti awal kepada gempa bumi. Dan jika ia berada di Nankai, ia mungkin gempa besar."

Para pakar mengingatkan gegaran di Nankai Trough, yang selari dengan pantai selatan Jepun dari Nagoya ke pulau Kyushu selatan, mungkin akan mencetuskan tsunami yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kehancuran di kawasan pesisir.

Ramalan kerajaan yang paling baharu, baru-baru ini mencadangkan tsunami lebih dengan ketinggian lebih dari 30 meter dapat dijana oleh gempa bumi kuat. -SCMP

ikan oar , Jepun , tsunami

Artikel Berkaitan

Artikel Lain