suria

Jakarta Sesak Luar Biasa Akibat Demonstrasi Pemandu Teksi

JAKARTA: Lalu lintas di sekitar Jakarta mengalami kesesakan luar biasa apabila ratusan pemandu teksi hari ini melancarkan demostrasi, mendesak kerajaan mengharamkan perkhidmatan teksi menggunakan aplikasi mudah alih.

Ratusan teksi berhenti dan membuat armada menguasai lorong cepat di Jalan Sudirman arah Semanggi dan berhimpun di Jalan Medan Merdeka.

Menurut laporan siaran berita televisyen tempatan, para pemandu teksi itu turut berkonvoi ke pejabat Kementerian Komunikasi dan Informasi, Kementerian Perhubungan, Istana Presiden dan bangunan Parlimen untuk membuat bantahan.

Ratusan pemandu teksi berdemonstrasi di depan Parlimen dan pintu gerbang Parlimen itu turut dipenuhi sepanduk yang tertera pelbagai tuntutan, seperti "Kami Minta Keadilan, Uber dan Grabcar Dibubarkan" serta "Stop Illegal Transportation".

Pemandu teksi terbabit menuntut supaya kerajaan menutup perkhidmatan teksi yang menggunakan aplikasi mudah alih seperti Grab Taxi dan Uber yang didakwa telah menjejaskan pendapatan pemandu teksi konvensional.

Bagaimanapun, demonstrasi itu kemudiannya menjadi ganas apabila para peserta tidak berpuas hati dan menyerang serta merosakkan teksi yang membawa penumpang.

Menurut laporan media portal, beberapa teksi yang tidak menyertai demonstrasi itu diserang dan para penumpang juga diarah keluar dari teksi manakala di beberapa kawasan, pemandu teksi bertindak melampau dengan menahan bas dan meminta semua penumpang turun dari pengangkutan awam itu.

Mereka juga membakar tayar di tengah jalan dan mengganggu lalu lintas di sekitar Jalan Semanggi.

Pasukan khas polis dilaporkan mulai mengawal kesemua kawasan dan laluan utama dan meminta para pemandu kenderaan awam menggunakan laluan alternatif.

Sementara itu, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla ketika mengulas tindakan itu dipetik oleh media portal sebagai berkata, walaupun para pemandu teksi mempunyai hak untuk membuat bantahan, namun mereka perlu sedar, perkhidmatan menggunakan aplikasi mudah alih bukanlah sesuatu yang harus dimusuhi.

Katanya, dalam era ledakan maklumat dan globalisasi ini, penggunaan aplikasi mudah alih adalah bukti bahawa teknologi sudah berkembang dan sesiapa yang tidak berubah akan ketinggalan.

Artikel Lain