suria

Calon Pilihan Raya Indonesia Bakal Disaring Agensi Narkotik

Ahmad Wazir yang juga calon pilihan raya parti Golkar ditahan kerana dikesan memiliki dadah.

AGENSI Penyelia Pilihan Raya Nasional (Bawaslu) akan mendapatkan bantuan Agensi Narkotik Nasional (BNN) bagi menyaring calon yang akan bertanding pada pilihan raya wilayah seluruh Indonesia tahun depan.

Langkah itu susulan penahanan ketua daerah Ogan Ilir, Ahmad Wazir Nofiadi yang juga calon parti Golkar peringkat wilayah negara itu pada Ahad kerana disyaki memiliki dadah.

Ahli jawatankuasa Bawaslu, Nasrullah berkata, pemeriksaan kesihatan biasa yang dilakukan tidak berkesan untuk menangani isu dadah melibatkan calon pilihan raya.

"Menerusi kerjasama BNN, Bawaslu akan segera membatalkan pencalonan bagi individu yang terlibat dengan dadah," katanya.

Beliau juga berharap kes seperti mana yang berlaku terhadap Ahmad tidak berulang.

"Proses pilihan raya mengambil masa yang lama. Calon juga perlu membelanjakan wang untuk mengambil bahagian. Apabila calon tidak dapat melaksanakan peranan kerana ditahan, ia tentunya memberi kesan buruk terhadap banyak pihak," kata Nasrullah lagi.

Beliau menambah, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) akan menyiasat pegawai perubatan terlibat yang menjalankan pemeriksaan ke atas Ahmad sebelum dia menjadi calon pilihan raya.


Golkar, BNN, Ahmad Wazir Nofiadi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain