suria

Pemimpin Muda Berkarismatik Matteo Renzi Diminta Bentuk Kerajaan Baru Itali

PRESIDEN Itali, Giorgio Napolitano telah meminta Datuk Bandar Florence yang juga pemimpin Parti Demokratik Itali, Matteo Renzi, untuk membentuk kerajaan baru selepas Perdana Menteri, Enrico Letta melepaskan jawatannya Jumaat lalu.

Letta terpaksa melepaskan jawatannya selepas parti yang diketuai oleh Renzi yang juga anggota kerajaan campuran Itali menarik balik sokongan mereka ke atas Letta selepas didakwa gagal membawa perubahan kepada sistem politik negara itu yang korup.

Letta adalah timbalan Renzi dalam parti. Renzi baru sahaja mengambil alih kepimpinan parti itu Disember lalu.

Isu yang membelenggu negara itu sekarang ialah Renzi, bukanlah seorang anggota Dewan Rakyat malah tidak pernah berkhidmat sebagai anggota parlimen sebelum ini.

Tetapi beliau sangat popular di kalangan rakyat yang melihatnya sebagai pemimpin muda yang berkarismatik yang mampu menumpaskan generasi tua dalam sistem politik Itali yang korup dan gila kuasa itu.

Renzi kini dibebankan dengan tanggungjawab untuk duduk berbincang dengan rakan-rakan pakatan yang lain bagi membentuk sebuah kerajaan baru.

Dan beliau dijadualkan untuk mengadakan perbincangan tersebut pada Selasa bagi membolehkan beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baru Khamis ini.

Harapan yang disandarkan ke atasnya adalah tinggi menggunung dan kenyataan yang disampaikannya kepada pihak media adalah sangat ringkas iaitu dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang mereka akan melihat perubahan ke atas sistem politik negara itu.

Tetapi warga Itali sangat skeptikal ke atas janji-janji manis seperti itu. Ini kerana semua orang tahu malah pernah menyaksikan berulang-ulang kali bagaimana sistem pentadbiran kerajaan Itali yang tidak berfungsi itu mampu membuatkan mereka yang mahu mengubahnya pun bertukar menjadi tidak berfungsi juga.

Mereka khuatir, Renzi yang masih muda dan mentah ini akan dikelilingi oleh pencatur-pencatur kuasa di Rom yang dahagakan kuasa dan menjadikannya korup dalam sekelip mata.

Jika Renzi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Khamis ini, dia bakal mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling muda dalam sejarah moden negara itu - dua bulan lebih muda daripada pemegang rekod terdahulu iaitu Benito Mussolini ketika dilantik ke jawatan tersebut pada 1922.

Pada pagi Isnin, Renzi menghabiskan masa 90 minit bertemu dan berbincang dengan Presiden Napolitan.

Sebaik sahaja selesai, Renzi yang dikerumuni para wartawan tempatan dan antarabangsa menyatakan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk terus melakukan reformasi politik dalam tempoh yang segera.

Beliau malah menyebut yang pindaan perlembagaan mampu dilakukan menjelang hujung bulan ini dan reformasi tenaga kerja akan dilakukan menjelang Mac dan penambahbaikan ke atas sistem birokrasi dalam kerajaan akan dapat dilakukan pada bulan berikutnya.

"Keperluan yang paling ketara yang memerlukan perhatian segera khususnya yang melibatkan generasi muda ialah perubahan kepada polisi sumber manusia dan pengangguran, " kata Renzi kepada para wartawan.

Itali kini sedang menanggung bebanan pengangguran setinggi 41% khususnya di kalangan mereka yang berusia 24 tahun ke bawah.

Namun begitu perjalanan politik Renzi tidaklah semudah yang dijangka.

Selepas mengangkat sumpah di hadapan presiden, pemimpin muda berusia 39 tahun itu perlu mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli parlimen.

Hanya selepas itu barulah dia boleh membentuk kabinet dan kerajaan campuran yang baru.

Buat masa ini Renzi mendapat sokongan padu daripada kesatuan sekerja terbesar Itali.

Tetapi pelawaannya kepada usahawan terkemuka Andrea Guerra agar menerima jawatan menteri pembangunan ekonomi telah ditolak mentah-mentah sekaligus meninggalkan kesan pertama yang tidak begitu baik ke atas kepimpinannya.

Selepas berjaya membentuk kerajaan yang baru Renzi perlu kembali mengadap presiden untuk membolehkan pencalonannya disahkan oleh ketua negara dan mengangkat sumpah memegang jawatan kontroversi itu.

Kemudian Renzi dan pasukan kabinet barunya perlu mendapatkan kepercayaan dan sokongan para senator dan wakil-wakil rakyat yang lain termasuk parti-parti kecil dalam usaha mereka untuk melakukan reformasi dan meminda perlembagaan.

LATARBELAKANG MATTEO RENZI:

Lahir: 11 Januari 1975

Pendidikan: Universiti Florence 1999

Karier:

> Presiden Wilayah Florence 2004-2009

> Datuk Bandar Florence, Jun 2009

> Ketua Parti Demokratik Itali, Disember 2013

Artikel Lain