suria

Pilihan Raya: Kerajaan Thailand Mahu Bincang Dengan Pemimpin Protes

BANGKOK: Kerajaan sementara Thailand yang berkeras mahu meneruskan pilihan raya umum, akan cuba berbincang dengan pemimpin protes Suthep Thaugsuban bagi memastikan proses pengundian lancar pada Ahad ini.

Perkara itu diputuskan walaupun Suthep telah mengumumkan beliau tidak mahu berbincang dengan kerajaan berikutan keputusannya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tetap mengadakan pilihan raya itu pada 2 Februari ini.

Kerajaan akan mempelawa Suthep untuk berbincang pada Jumaat ini dengan wakil-wakil dari SPR, tentera, polis, media, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional dan dan Pemantau Hak Asasi Manusia sebagai pemerhati, kata pesuruhjaya Pusat Mengekalkan Keamanan dan Perintah (CMPO) Tharit Pengdit.

Bagaimanapun, Tharit berkata CMPO masih belum menghubungi Suthep mengenai cadangan perbincangan itu yang diharapnya berlangsung pada 2 petang Jumaat ini di tapak protes di persimpangan Pratumwan (berdekatan pusat beli belah MBK), iaitu satu daripada tujuh tapak protes yang diwujudkan Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC) dalam kempen 'Shutdown Bangkok'.

"Kami akan berunding dengan Suthep bagi meminta para penunjuk perasaan supaya tidak menghalang pengundian pada Ahad ini," katanya dalam sidang berita di sini, Rabu.

Kerjasama kumpulan PDRC adalah penting bagi memastikan proses pengundian lancar pada Ahad ini kerana pengundian awal pada 26 Januari lepas terjejas dengan insiden keganasan yang menyaksikan seorang pemimpin PDRC ditembak mati semasa protes dilakukan di sebuah pusat pengundian di sini.

Protes oleh para penyokong PDRC juga menyebabkan pengundian awal itu hanya dapat diadakan di 65 wilayah daripada 77 wilayah di negara ini.

Dalam mesyuarat tiga jam tengah hari semalam kerajaan sementara yang diketuai Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan anggota-anggota SPR tidak mencapai keputusan berhubung penangguhan pilihan raya itu.

Yingluck mempengerusikan mesyuarat itu, yang diadakan selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan minggu lepas bahawa pilihan raya itu boleh ditangguhkan dan menyerahkannya kepada Yingluck dan SPR untuk memutuskannya.

Kerajaan sementara itu berpendapat penangguhan itu tidak dapat menyelesaikan konflik politik semasa, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan kerajaan sementara itu Pongthep Thepkarnchana semalam.

SPR mahu menangguhkan pilihan raya itu keraa bimbang pengundian tidak dapat diadakan terutamanya di kawasan selatan di mana PDRC mempunyai sokongan kuat selain tentangan hebat terhadap bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang juga abang Yingluck. - BERNAMA

Artikel Lain