suria

Anak Lelaki Benazir Bhutto Desak K'jaan Pakistan Bertindak Tegas Ke Atas Taliban

ISLAMABAD: Bilawal Bhutto Zardari, anak lelaki kepada bekas perdana menteri, Benazir Bhutto, mendesak kerajaan dan pihak tentera bertindak dengan lebih keras ke atas puak Taliban.

Beliau membuat gesaan itu ekoran memuncaknya tindakan serangan ganas Taliban di negara itu akhir-akhir ini.

Bilawal, 25, yang kini merupakan tonggak utama Pakistan People's Party (PPP) yang suatu ketika dahulu diterajui ibunya memberitahu BBC bahawa Pakistan perlu bangun dari ancaman militan.

Pakistan, yang menjadi pusat pengembangan gerakan Taliban sejak 2007 telah menyaksikan 110 orang terkorban pada bulan ini sahaja.

Kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Nawaz Sharif telah menerima kritikan dari pelbagai pihak kerana gagal menyekat ancaman serangan Taliban sejak kembali berkuasa pada tahun lalu.

"Puak ini tidak boleh dibawa berunding. Puak ini hanya tahu bagaimana hendak menyerang,tetapi kerajaan masih hendak berunding dengan mereka. Mereka ini harus ditewaskan di medan peperangan bukan di meja rundingan," tegasnya lagi.

Kabinet Nawaz mengadakan pertemuan pada Isnin untuk membincangkan langkah-langkah menangani ancaman serangan Taliban.

Hanya seminggu yang lalu, pasukan tentera udara mengebom kubu persembunyian Taliban di wilayah Utara Waziristan.

Utara Waziristan adalah tempat persembunyian utama puak Taliban di Pakistan.

Kerajaan Pakistan masih menimbang sama ada menyerang wilayah itu secara habis-habisan satu opsyen yang perlu dilakukan sekarang.

Ibu Bilawal, Benazir mati ditembak dalam satu kempen pilihan raya pada Disember 2007 sementara bapanya, Asif Ali Zardari adalah presiden Pakistan dari 2008-2013.

PPP tewas dalam pilihan raya umum yang diadakan tahun lalu di tangan parti pimpinan Nawaz Sharif.

Artikel Lain