suria

Kacau Bilau Di Ukraine Mungkin Bawa Kepada Pengumuman Darurat

KIEV: Kerajaan Ukraine mengancam untuk mengisytiharkan darurat selepas para penunjuk perasaan menyerbu masuk ke Kementerian Undang-Undang dan merampas kementerian itu dengan mendesak presiden melepaskan jawatan serta merta.

Selepas dilanda kekacauan dan situasi tidak menentu sejak dua bulan lalu, pihak pembangkang masih menolak tawaran perdamaian yang disyorkan oleh Presiden Viktor Yanukovych.

Situasi di Ukraine kini dianggap sebagai yang terburuk sejak mereka mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union.

Tunjuk perasaan bermula dua bulan yang lalu selepas Presiden Yanukovych menolak pakatan untuk menyertai Kesatuan Eropah atas tekanan dan desakan Rusia.

Protes itu kemudiannya bertukar menjadi desakan untuk menuntut peletakan jawatan presiden tanpa kompromi.

Ia kemudiannya merebak ke seluruh negara dengan jumlah penduduk seramai 46 juta orang itu sekaligus menyaksikan segala bentuk urusan pentadbiran harian lumpuh.

Ukraine berkongsi bahasa yang hampir serupa dengan Rusia malah berkongsi budaya dan sejarah yang menyaksikan mereka sentiasa bersama Moscow dalam apa jua tindakan dan polisi.

Di ibu negara, sekumpulan penunjuk perasaan yang menamakan diri mereka sebagai "Spilna Sprava" (Barisan Tindakan Benar) telah merampas Kementerian Undang-Undang lewat Ahad dan meletakkan sekatan di pekarangan bangunan itu.

Menterinya, Olena Lukash, yang kini sedang terlibat dalam rundingan damai antara pihak pembangkang dengan Presiden Yanukovych, menegaskan yang dia berhasrat untuk membatalkan rundingan seandainya tindakan merampas bangunan kementeriannya tidak dihentikan.

Malah tegasnya, jika mereka tidak keluar meninggalkan bangunan kementerian berkenaan, Olena akan meminta Majlis Keselamatan Negara menimbangkan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

Seluruh Eropah telah mendesak supaya kedua-dua belah pihak di Ukraine duduk berdialog dan mencari jalan penyelesaian damai malah Pope Francis dan Vatican turut membuat gesaan yang sama demi kebaikan semua.

Yanukovych sebelum ini pada Sabtu telah mengesyorkan jalan penyelesaian dengan menawarkan jawatan kabinet kepada pihak pembangkang termasuklah jawatan perdana menteri.

Malangnya tawarannya ditolak mentah-mentah oleh mereka walaupun Yanukovych sanggup berkongsi kuasa dengan Ketua Parti Fatherland, Arseniy Yatsenyuk selaku perdana menteri dan bekas juara tinju heavyweight dunia, Vitali Klitschko sebagai timbalan perdana menteri.

Klitschko, yang sememangnya tidak sealiran dengan Yatsenyuk telah mengutuk cadangan tersebut dalam satu temuramah dengan akhbar Jerman, Bild am Sonntag.

"Ini adalah satu cadangan yang bertujuan untuk meracuni pergeraan pembangkang dengan tawaran yang lumayan," ujarnya.

Selepas cadangannya itu ditolak, Yanukovych kini dikatakan bersedia melakukan pindaan perlembagaan bagi membolehkan kuasa presiden dikurangkan dan kuasa perdana menteri pula ditambah.

Parlimen pula dijangka bersidang pada Selasa untuk mencari jalan menyelesaikan krisis negara itu.

Dalam pada itu, agensi berita AFP melaporkan, beribu aktivis telah mengambil alih pejabat pihak berkuasa tempatan di tiga buah bandar iaitu Dniepropetrovsk, Sumy dan Zaporizhya.

Artikel Lain