suria

Jumlah Korban Dalam Konflik Politik Thai Meningkat

BANGKOK: Insiden keganasan yang dikaitkan dengan protes anti-kerajaan di ibu negara Thailand setakat ini mengakibatkan sembilan nyawa terkorban dan hampir 600 orang cedera.

Kira-kira 22 yang cedera masih berada di hospital, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Perangkaan itu dikumpul sejak meletusnya pertempuran di sekitar Universiti Ramkhumhaeng antara kumpulan yang menentang pemprotes anti-kerajaan dengan kumpulan Baju Merah (pro-Thaksin Shinawatra) pada 30 November hingga Ahad.

Kemalangan jiwa terbaru berlaku pada Sabtu bila seorang daripada mangsa serangan bom tangan semasa perarakan pemprotes di Banthad Thond Jumaat lalu meninggal dunia akibat kecederaan.

Situasi yang begitu serius mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa negara dengan Kuwait dan Oman menasihatkan warga mereka meninggalkan Thailand.

Pada Sabtu, Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Thanasak Patimaprakorn, merayu kepada kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian dan sedia berkorban demi kepentingan negara, tetapi mengakui kesukaran mendapatkan orang tengah yang sedia diterima oleh kedua-dua pihak.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menggesa kerajaan sementara menangguhkan pilihan raya oleh kerana petugasnya sukar masuk ke kawasan tertentu di selatan di mana sokongan untuk pembangkang begitu kuat, tetapi Perdana Menteri Yingluck Shinawatra menolaknya.

Yingluck juga menghadapi beberapa masalah dengan Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan (NACC) yang menyiasat peranannya dalam urusan palsu jualan beras antara kerajaan dengan kerajaan di luar negara.

Beras itu ialah stok di bawah skim subsidi dikenali sebagai skim ikrar beras di mana kerajaan membeli beras untuk petani pada harga lebih tinggi dari harga pasaran antarabangsa sekarang.

NACC kini mengenakan tuduhan terhadap bekas seorang menteri dan 13 yang lain hasil daripada siasatan itu.

Bagaimanapun, isu itu belum berakhir oleh kerana petani juga berdemonstrasi kerana kelambatan membayar untuk beras mereka, malahan sesetengah petani menuntut dikembalikan hasil tani mereka.

NACC juga memutuskan untuk mengenakan tuduhan terhadap 308 bekas anggota parlimen dan senator berhubung dakwaan salah laku dalam pindaan piagam bagi menjadikan anggota Senat dipilih sepenuhnya.

Jika mereka didapati bersalah, ia memberi kesan kepada pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya.

Terdapat pelbagai ketidaktentuan di Thailand dan pilihan raya mungkin tidak mampu untuk menyelesaikannya, kecuali semua pihak bekerjasama dan sedia berkorban sebagaimana dicadangkan oleh Jeneral Thanasak. - BERNAMA

Artikel Lain