suria

Silkair Raikan Jubli Perak Dengan Penerimaan Pesawat Baharu Boeing 737-800

SINGAPURA: Dengan pengalaman penerbangan selama 25 tahun, SilkAir, cabang serantau Singapore Airlines, akan merayakan ulang tahun jubli peraknya tahun ini.

Untuk menandakan perayaan jubli perak itu, syarikat itu akan menerima penyerahan pesawat pertama dalam kumpulan pesawat baharunya yang terdiri daripada 54 pesawat Boeing 737 pada awal Februari 2014.

Sejumlah lapan pesawat dijangkakan tahun ini, manakala selebihnya akan diserahkan pada akhir dekad ini.

Dengan pesawat baharu itu, beberapa peningkatan perkhidmatan akan ditawarkan untuk menambah baik pengalaman dalam penerbangan bagi penumpang termasuk hiasan dalaman kabin dan pencahayaan yang dinaikkan taraf serta ruang bagasi atas kepala yang lebih luas.

Selain penyerahan pesawat yang menjadi peristiwa penting ini, SilkAir akan menawarkan beberapa kejutan dan perayaan bagi penumpangnya di Asia.

Pada satu taklimat akhbar di sini Jumaat, Ketua Eksekutif SilkAir, Leslie Thng, berkata: "Kumpulan pesawat Boeing baharu kami akan membolehkan kami memberikan tumpuan utama kepada penumpang kami dengan objektif memberikan tahap pengalaman dan kualiti yang lebih tinggi."

Tentang rancangan masa depan, Thng berkata syarikat itu akan terus membuat penambahbaikan dan penyesuaian, yang memenuhi keperluan penumpang di Asia yang sentiasa berubah-ubah.

Pesawat Boeing 737 pertama dirancangkan memasuki perkhidmatan mulai 20 Februari, 2014 ke destinasi-destinasi termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Phuket dan Medan manakala ketibaan pesawat kedua akan membolehkan penambahan laluan-laluan ke destinasi-destinasi lain termasuk Siem Reap, Danang, Davao, Cebu dan Kochi mulai 17 Mac. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain