suria

Tujuh Penunjuk Perasaan Cedera Lelaki Bersenjata Lepas Tembakan Di Bangkok

BANGKOK: Tujuh tercedera, seorang parah, selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan anti-kerajaan di Bangkok awal hari Sabtu.

Kejadian itu sekali gus meningkatkan kebimbangan lebih banyak keganasan akan berlaku apabila penunjuk perasaan cuba untuk 'menutup' bandar itu minggu depan dalam usaha mereka untuk menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

"Dua tembakan berlaku pada awal pagi ini di sebuah persimpangan berhampiran kawasan pelancongan Khao San Road.

"Secara keseluruhannya tujuh orang cedera, kebanyakan mereka penunjuk perasaan anti-kerajaan. Kami masih menyiasat siapakah lelaki bersenjata terbabit," kata ketua polis negara Adul Saengsingkaew.

Salah seorang penunjuk perasaan yang cedera masih dalam keadaan kritikal, menurut Pusat Perubatan Erawan.

Kejadian ini ekoran pertempuran di luar Bangkok antara penyokong kerajaan dan penunjuk perasaan pada Jumaat lalu yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang cedera.

Ketika sambutan sempena Hari Kanak-kanak Sabtu, Ketua Tentera Thailand, Prayuth Chan- Ocha berkata beliau bimbang berlaku peningkatan dalam keganasan minggu depan.

"Saya bimbang mengenai keselamatan kerana pada masa itu terdapat ramai orang. Keganasan semakin meningkat," kata Prayuth.

"Kita boleh berfikir secara berbeza tetapi kita tidak boleh membunuh antara satu sama lain. Janganlah menggunakan keganasan."

Artikel Lain