suria

Pembangunan RM2.6 Bilion - Paradiso Nuova - Bermula Di Iskandar Malaysia

SINGAPURA: Zhuoyuan Iskandar, syarikat usaha sama yang disokong oleh Zhuoda Group China dan Iskandar Investment Bhd (IIB), Malaysia pada Jumaat melakukan majlis pecah tanah pembangunan perdananya - Paradiso Nuova - di Medini, Nusajaya, Iskandar Malaysia.

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.6 bilion, projek ini terletak dalam kawasan hartanah paling menarik di Iskandar Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai IIB Datuk Syed Mohamed Ibrahim berkata : "Pencapaian paling menarik bagi IIB ialah penyiapan projek pemangkin yang kritikal dalam mewujudkan ekosistem lestari di bandar raya sejahtera, iaitu Iskandar Malaysia."

Beliau berkata ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa infrastruktur baik, komponen utama perkakasan persekitaran operasi bandar serta sokongan kerajaan persekutuan dan negeri.

"Hari ini, nilai lokasi strategik Iskandar Malaysia yang dekat dengan Singapura, sudah terserlah," katanya pada majlis pecah tanah yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berikutan minat pelabur yang terus meningkat, Syed Mohamed berkata tumpuan syarikat itu kini ialah untuk mengekalkan momentum pertumbuhan mapan.

"Kami merasakan Paradiso Nuova, mewakili kehidupan masa depan yang berkualiti di Medini. Lebih daripada sekadar koleksi pangsapuri berkualiti tinggi dan menakjubkan, Paradiso Nuova menawarkan cara hidup masyarakat yang mengintegrasikan kehidupan terbaik Timur dan Barat," katanya.

Direka bentuk oleh arkitek bertaraf dunia, Ong&Ong, Paradiso Nuova, yang terletak kira-kira sepuluh minit dari laluan kedua Singapura, merupakan pembangunan berkualiti tinggi dan mewah pada harga berpatutan yang menawarkan peluang menarik untuk pembeli rumah yang mencari satu konsep hidup gaya hidup mewah yang disokong pelaburan yang kukuh.

"Iskandar Malaysia ialah contoh utama antarabangsa bagi perancangan teliti dan berpandangan jauh oleh kerajaan Malaysia. Di seluruh wilayah ini, wujud peluang pelaburan yang luar biasa dan kami amat berbesar hati kerana dapat memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan Iskandar Malaysia menerusi Paradiso Nuova," kata Wang Bin Wu, Ketua Pegawai Eksekutif Zhuoyuan Iskandar Sdn Bhd.

Menerusi Paradiso Nuova, beliau berkata: "Kami akan membawa gaya kehidupan terbaik Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Kuala Lumpur, pada kos yang jauh lebih baik dan disokong oleh insentif pelaburan yang menarik."

Menara 35 tingkat, setinggi 122 meter, mengandungi 382 unit pangsapuri yang secara puratanya 20 peratus lebih besar berbanding hartanah di Singapura - menjadikannya wadi hebat yang menawarkan perhatian peribadi dan kemewahan.

Lebih daripada 80 peratus daripada pangsapuri berkenaan telah ditempah.

Paradiso Nuova dijangka siap pada 2017.

Pada majlis itu, Zhuoyuan Iskandar juga melancarkan Grand Gallery Malaysia di Medini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain