suria

Kes Rasuah: Ketua Umum Parti Demokrat Letak Jawatan

JAKARTA: Anas Urbaningrum melepaskan jawatannya sebagai Ketua Umum Parti Demokrat, setelah Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK)Indonesia, malam Jumaat menetapkan beliau sebagai suspek kes rasuah projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Hambalang, Bogor, Jawa Barat.

Pengunduran beliau daripada jawatan ketua bagi parti yang diasaskan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono itu, diumumkan pada sidang akhbar di ibu pejabat parti di sini dengan memberi alasan tindakan itu sesuai dengan etika beliau, yang ketika ini menjadi suspek kes rasuah.

Pada sidang akhbar itu Anas menegaskan beliau tidak terlibat kes rasuah itu. "Melalui proses undang-undang yang objektif, telus, saya akan melakukan pembelaan undang-undang yang sebaik-baiknya. Berdasarkan bukti-bukti dan saksi-saksi yang kredibel, saya yakin betul, sepenuhnya saya tak terlibat dalam kes Hambalang. Saya yakin tidak benar tuduhan-tuduhan itu," katanya.

Parti Demokrat yang semakin hilang sokongan rakyat berikutan penglibatan beberapa pemimpin parti itu dengan kes rasuah, sedang menumpukan perhatian kepada usaha menyelamatkan parti itu dan memulihkan sokongan rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum 2014.

Presiden Yudhoyono yang kini menyandang Ketua Majlis Tertinggi Parti Demokrat dan anaknya Edhie Baskoro Yudhoyono (akrab dengan nama Ibas) selaku Setiausaha Agung parti itu bersama barisan kepimpinan parti yang lain pada Ahad lepas mengadakan mesyuarat khas membincangkan langkah penyelamatan parti itu. -BERNAMA

Artikel Lain