suria

Waspada Terhadap Mata Wang Palsu Bermutu Tinggi Di Sydney

MELBOURNE: Rakyat Malaysia yang melawat Australia perlu berwaspada berikutan Sydney kini dibanjiri mata wang palsu bermutu tinggi yang sukar dikesan oleh beberapa bank.

Sejak dua bulan lepas, kumpulan penjenayah terancang menyebabkan kebanjiran wang palsu, kebanyakannya wang kertas A$50 dan A$100, dan digunakan di restoran, bar dan premis makanan segera, terutama di barat Sydney.

Dua minggu lepas, pihak berkuasa mendakwa seorang penunggang kerana memiliki A$520,000, lapor Associated Press Australia.

Perniagaan di kawasan pinggir bandar Sydney seperti Fairfieldof, Mt Druitt dan Penrith, turut mengesan wang kertas palsu, sebahagian besarnya wang A$100.

Ia juga secara tidak disedari, diedarkan oleh bank.

Polis berkata wang kertas palsu itu sukar dikesan kerana bermutu tinggi.

"Is disalut resin plastik supaya sama dengan wang kertas tulen.

"Pada masa lepas, wang kertas A$50 paling popular, namun kini bilangan wang kertas A$100 semakin meningkat," kata seorang jurucakap polis dipetik berkata.

Semua wang kertas palsu yang dikesan diserahkan kepada Reserve Bank dan Polis Persekutuan Australia untuk siasatan.

Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa wang palsu itu merupakan masalah kecil di Australia, sindiket jenayah tempatan dan antarabangsa dikenal pasti sebagai pihak yang terlibat menghasilkannya secara besar-besaran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Roket Mendarat Di Bandar Israel

Artikel Berikut