MATARAM (LOMBOK): Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada Khamis mengingatkan rakyat Indonesia supaya tidak bertindak melampau dalam meluahkan rasa tidak senang mereka menerusi demonstrasi sehingga melukai hati negara jiran Malaysia.
Katanya, demonstrasi oleh beberapa kumpulan kecil masyarakat di negara itu di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta minggu lepas sudah melampaui batas.
"Hubungan kedua-dua negara harus diletakkan dalam kerangka yang strategik, fundamental dan berjangka panjang. Sebagai negara tetangga, hampir pasti ada masalah-masalah yang muncul. Dalam alam demokrasi Indonesia, hal itu (demonstrasi) boleh terjadi.
"Saya sudah mengingatkan janganlah tunjuk rasa itu melebihi sepatutnya sebab ia boleh melukai (hati) negara sahabat," katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di akhir perundingan tahunan Malaysia-Indonesia di sini Khamis.
Demonstrasi itu berhubung pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia di Camar Bulan dan Tanjung Datu dalam kawasan Kalimatan Barat dan Sarawak, telah antara lain merosakkan pagar dan lampu pagar di kedutaan besar itu. Presiden Indonesia itu juga berharap dengan adanya kesepakatan yang dicapai oleh Jakarta dan Kuala Lumpur terhadap beberapa isu dua hala, tidak akan ada lagi persepsi keliru terhadap Malaysia oleh rakyat Indonesia.
"Saya berharap dengan selesainya masalah-masalah di kedua-dua pihak (Malaysia-Indonesia) tidak lagi ada persepsi yang keliru, tidak ada lagi isu yang diangkat oleh mana-mana pihak tetapi kita melangkah ke depan," ujar beliau lagi.
Perundingan tahunan ke-8 ini memberi hasil positif khususnya berhubung keputusan Indonesia untuk menarik balik moratorium penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia, mulai 1 Disember ini.
Ia juga menetapkan cara penyelesaian isu pertikaian sempadan darat dan maritim kedua-dua negara melalui pilihan situasi menang-menang dan dapat diterima oleh rakyat dan kerajaan Malaysia dan Indonesia. -BERNAMA


