suria

Status Amaran Gunung Berapi Anak Krakatau Naik Ke Tahap Siaga

JAKARTA: Peningkatan drastik aktiviti gempa volkanik Gunung Anak Krakatau di perairan Selat Sunda, mememaksa pihak berkuasa meningkatkan status amaran gunung berapi itu ke tahap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku letusan.

Semua pihak diminta tidak menghampiri gunung berapi itu pada radius dua kilometer, namun aktiviti masih dibenarkan dijalankan seperti biasa di luar radius itu.

Anak Krakatau terletak di perairan Selat Sunda, 40 km dari pesisir pantai Lampung di Pulau Sumatera dan pantai Anyer-Carita di Pulau Jawa.

Media tempatan memetik Ketua Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Surono sebagai berkata semalam bahawa alat seismograf merekodkan aktiviti gempa volkanik antara 6,000 dan 7,000 kali sehari.

Sebelum ini ia hanya merekodkan aktiviti gempa antara 100 dan 300 kali sehari, kata Surono kepada Indopos seperti yang dipetik portal berita Jawa Pos National Network.

Agensi berita Antara pula memetik Staf Khusus Presiden Bidang Bencana dan Bantuan Sosial Bencana Andi Arief sebagai berkata bahawa secara teorinya, lonjakan aktiviti gempa bumi lebih dari 1,000 peratus itu, pasti akan menyebabkan Gunung Anak Krakatau meletus, namun jenis letusannya belum dapat diketahui kerana perkembangannya masih dalam tahap pemantauan intensif.

Sejak Gunung Anak Krakatau itu muncul di permukaan laut pada 11 Jun 1927 hingga tahun ini, gunung berapi itu telah meletus lebih 100 kali, dengan tempoh waktu rehatnya antara satu dan enam tahun.

Letusan Gunung Anak Krakatau pada 10 Julai lalu mengeluarkan bahan pijar pada radius 700 dan 1,000 meter dari pusat letusan dan mengakibatkan peralatan seismik di gunung berapi itu rosak. Letusan Gunung Anak Krakatau yang sering berlaku sejak empat tahun lepas, adalah letusan jenis magmatik yang menghasilkan bahan volkanik dan abu yang tersebar di sekitar pulau Anak Krakatau pada radius 500 meter hingga 1,500 meter.

Keluasan sebaran abu volkanik bagaimanapun bergantung kepada kekuatan dan arah angin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain