suria

Singapura, Malaysia Tidak Mungkin Bergabung Semula: Kuan Yew

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew membayangkan negara ini dan Malaysia tidak mungkin akan bergabung semula pada masa depan, setelah penyertaan republik itu dengan Malaysia pada 1960-an menemui kegagalan.

Kuan Yew berkata demikian ketika ditanya oleh seorang rakyat Malaysia semasa Dialog Global Singapura pada Khamis lalu, sama ada beliau menjangkakan kedua-dua negara itu akan bergabung daripada segi ekonomi dan politik bagi mengimbangi kebangkitan Indonesia sebagai sebuah kuasa di rantau ini.

Lee, bagaimanapun, menyatakan bahawa terdapat 'perkembangan positif' antara Singapura dan Malaysia, lapor Channel NewsAsia.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai 'pandangan yang positif terhadap hubungan dua hala' apabila membangunkan Wilayah Iskandar di selatan Johor dan menjadikan Singapura seperti 'Shenzen' merujuk kepada kawasan perindustrian di China, Lee berkata, ''(Singapura dan Malaysia) merupakan satu set kuasa pelengkap yang akan menjadi lemah dan tidak membawa menguntungkan kepada kedua-dua negara jika (Singapura dan Malaysia) tidak berbaik-baik.''

Tambah beliau: "Kamu (Malaysia) mahukan pelaburan daripada kami dan kami pula mahu melabur. Untuk tujuan itu, kami tidak mahu mempunyai masalah dengan Malaysia dan Malaysia yang mahukan banyak pelaburan sudah pasti tidak akan menimbulkan masalah kepada kami.

"Jadi itu merupakan satu perkembangan yang positif," katanya.

Semasa dialog yang berlangsung selama 40 minit itu, Lee turut menyentuh tentang pentingnya Singapura untuk 'mengekalkan perpaduan nasional' dan kekayaan negara ini diagih-agihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik di republik ini.

Katanya, sistem meritokrasi, pragmatisme dan sebuah kerajaan yang bersih akan membantu Singapura untuk terus maju.

Ketika ditanya mengenai Pilihan Raya Umum pada Mei lalu, yang menyaksikan sokongan terhadap parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat semakin merosot, Lee berkata, ia "memang dijangka akan berlaku" kerana generasi muda ingin melihat persaingan.

Artikel Lain