suria

AIF Buka Jalan Ledakan Infrastruktur Asean

WASHINGTON: Para Menteri Kewangan Asean berhimpun di sini, Sabtu bagi menandatangani satu perjanjian bagi mewujudkan satu Dana Infrastruktur Asean (AIF) yang beinovatif yang menjanjikan untuk mempercepatkan integrasi ekonomi serantau, sekaligus mempersiapkan pelaksanaan Komuniti Ekonomi Serantau menjelang 2015.

Malaysia, penyumbang AIF terbesar Asean sebanyak US$150 juta, akan menjadi pemegang saham utama di dalam inisiatif Asean yang bersejarah itu yang akan membiayai projek infrastruktur utama di seluruh rantau itu. Malaysia juga mempengerusikan satu siri Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi sejak Julai 2010 bagi mewujudkan AIF itu, kata Menteri Kewangan Kedua Dato' Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah kepada Bernama selepas majlis penandatanganan perjanjian itu di sini.

AIF, yang akan berpangkalan di Malaysia sebagai satu syarikat liabiliti terhad, akan membantu menzahirkan Pelan Induk Hubungan Asean, katanya.

AIF sedang diwujudkan dengan sumbangan ekuiti awal USD485.2 juta, di mana US$335.2 juta akan disumbang oleh sembilan negara anggota Asean.

Selepas Malaysia, Indonesia adalah penyumbang Asean kedua terbesar sebanyak US$120 juta, dengan baki US$150 juta disediakan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB).

Myanmar akan mengambil bahagian di dalam AIF mulai tahun depan dan merancang menyumbang US$100,000, kata Ahmad Husni.

Komitmen pinjaman keseluruhan AIF sehingga 2020 dijangka berjumlah kira-kira US$4 bilion.

Dengan unjuran 70 peratus pembiayaan bersama oleh ADB, ia dijangka menyandarkan pembiayaan infrastruktur lebih US$13 bilion menjelang 2020.

"Negara-negara Asean memiliki rizab asing yang besar tetapi sebahagian besar dana itu telah dilaburkan di luar Asean, dan di luar Asia," kata Presiden ADB Haruhiko Kuroda.

"Dengan mewujudkan AIF itu, Asean telah mengorak langkah utama bagi melabur lebih banyak sumbernya terhadap keperluan pembangunannya sendiri.

ADB akan mentadbir AIF dan akan memastikan keselamatan dan daya majunya menjadi sebahagian daripada projek yang dibiayai. Satu ciri AIF ialah ia akan menerbitkan hutang yang disasarkan dengan bank-bank pusat di rantau ini yang memiliki rizab pertukaran asing yang besar.

Setiausaha Agung Asean Surin Pitsuwan berkata, "Dengan negara-negara Asean memegang rizab lebih US$700 bilion, AIF menawarkan lorong bagi digembleng sumber di rantau ini bagi keperluan infrastrukturnya yang semakin berkembang."

Bagi tempoh sedekad akan datang, ekonomi-ekonomi Asean akan memerlukan kira-kira US$60 bilion setahun bagi menangani sepenuhnya keperluan infrastruktur rantau ini.

Berasaskan perkapita, negara-negara di rantau ini hanya memiliki sebahagian kecil daripada jalan raya dan kereta api yang terdapat di negara-negara OECD yang maju dan liputan elektrik yang rendah dan air yang bersih.

"AIF akan membantu menjalinkan hubungan keperluan jalan raya, kereta api dan tenaga di rantau ini bagi mewujudkan taraf hidup lebih baik rakyatnya dan menjadikan Pelan Induk Hubungan satu kenyataan," kata Ahmad Husni.

Pelan Induk Hubungan itu dilancarkan pada 2010. Ia megnenal pasti satu siri strategi dan tindakan bagi meningkatkan hubungan fizikal, institusi dan rakyat dengan rakyat antara negara-negara berkenaan. "Ini merupakan inisiatif terbesar yang diterajui Asean di dalam sejarah pertubuhan itu," kata Ahmad Husni, sambil menyatakan Asean dan ADB telah mengenal pasti projek infrastruktur bernilai US$630 bilion di rantau ini yang termasuk pengangkutan, air dan tenaga.

ADB akan mentadbir AIF dan akan menyasarkan enam projek infrastruktur setahun. Pemilihan projek akan berasaskan kadar pulangan kewangan dan ekonomi yang baik dan protensi kesan pengurangan kemiskinan.

Sebaik sahaja satu rekod kejayaan dicapai di dalam tempoh lima tahun akan datang, AIF akan mulai menerbitkan hutang 1.5 kali nilai ekuitinya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain