suria

Pukul Isteri, Gulpilil Dipenjara Setahun

DARWIN: Pelakon orang asli, David Gulpilil yang muncul dalam beberapa filem popular termasuk 'Crocodile Dundee' dan 'Australia' dipenjara pada Khamis kerana memukul isterinya dengan sebatang penyapu.

Gulpilil, 58, dihukum penjara setahun dan diperintah melakukan kerja komuniti selama lima bulan selepas didapati mencederakan lengan isterinya, Miriam Ashley dalam keadaan mabuk pada Disember lalu.

Peguam Gulpilil, Eugene Schofield memberitahu mahkamah bahawa pelakon berprofil tinggi itu berada dalam keadaan separuh sedar akibat pengaruh alkohol ketika memukul Ashley.

Gulpilil yang kelihatan tidak terurus didapati bersalah kerana melakukan keganasan domestik beberapa kali.

Di bawah undang-undang Wilayah Utara, kesalahannya itu boleh membawa hukuman penjara mandatori.

Beliau turut diarahkan supaya mengikuti program pemulihan alkohol selama tujuh bulan sebagai syarat untuk dibebaskan lebih awal.

Nama Gulpilil melonjak naik selepas beliau membintangi filem 'Walkabout' pada 1971 sebelum bergandingan dengan Paul Hogan dalam filem popular 'Crocodile Dundee' pada 1986 yang mengangkat beliau sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau diiktiraf kerajaan Australia kerana bakatnya dalam kesenian pada 1987 dan sering muncul dalam filem berunsurkan masyarakat orang asli seperti 'Rabbit-Proof Fence'.

Bagaimanapun, beliau hidup dalam kemiskinan yang disifatkan Schofield sebagai tragis.

Majistret John Lowndes menyifatkan kehidupannya sebagai teruk dan menyedihkan.

"Mahkamah berpendapat kesalahan itu tidak boleh dikecualikan dengan apa cara sekalipun. Agak sedih apabila seorang yang berbakat besar dipenjarakan pada hari ini," katanya.

Artikel Lain