suria

Ahli-Ahli Parlimen Indonesia Gesa K'jaan Batal Penghantaran Pembantu Rumah Ke Timur Tengah

JAKARTA: Para ahli parlimen Indonesia pada Selasa menggesa Kerajaan Indonesia agar menghentikan buat sementara waktu penghantaran tenaga kerja ke Timur Tengah khususnya Arab Saudi selepas seorang pembantu rumah mereka dihukum pancung kepala kerana didapati bersalah membunuh majikannya.

Mereka berkata, negara-negara kaya dari Timur Tengah tidak seharusnya mengambil kesempatan ke atas guna tenaga murah dari Indonesia sehingga mereka bersetuju untuk melindungi hak asasi pekerja dari negara asing.

"Kami telah meminta kerajaan agar buat sementara waktu membekukan penghantaran tenaga kerja ke negara-negara yang enggan menandatangan perjanjian untuk melindungi hak asasi pekerja kita di sana," kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Priyo Budi Santoso.

Isu mengenai pekerja Indonesia di Timur Tengah menjadi hangat ekoran hukuman pancung yang dijalankan ke atas seorang pembantu rumah Indonesia Sabtu lepas setelah dia didapati bersalah membunuh majikannya.

Ruyati binti Sapubi telah didapati bersalah membunuh Khairiya binti Hamid Mijlid selepas permintaannya untuk kembali ke Indonesia tidak mendapat persetujuan majikannya itu, kata para pegawai Indonesia.

Indonesia telah memanggil pulang dutanya ke Arab Saudi pada Isnin sebagai protes ke atas hukuman yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi itu.

Pada masa ini, terdapat 23 lagi warga Indonesia yang sedang menanti hukuman pancung dikenakan ke atas mereka di Arab Saudi.

Hampir 70 peratus daripada 1.2 juta pekerja Indonesia di Arab Saudi adalah pembantu rumah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

9 Maut Dalam Serangan NATO

Artikel Lain