suria

Anak Cameron Highlands Jadi Jutawan Arang Batu Di Australia

MELBOURNE: Siapa sangka, seorang lelaki daripada keluarga kurang berada berasal dari Cameron Highlands, kini muncul sebagai anak Malaysia paling kaya di Australia dengan harta bernilai A$950 juta yang diperoleh melalui perusahaan lombong arang batu.

Setelah sekian lama berjaya menyembunyikan diri daripada pengetahuan ramai, akhirnya, rahsia Sam Chong, 68, terdedah juga minggu lepas apabila majalah Business Review Weekly (BRW) menyiarkan nama beliau dalam senarai orang terkaya "Rich 200".

Chong, jurutera perlombongan yang tidak menggemari publisiti dan jarang dijadikan bahan berita oleh media Australia, tetap keberatan untuk menceritakan kisah kejayaannya apabila dihubungi Bernama di kediamannya di Brisbane.

Beliau juga enggan berbicara tentang dedikasi, ketekunan dan berapa lama beliau mengambil masa untuk mengumpul kekayaan yang dimilikinya sekarang.

BRW melaporkan bahawa kedudukan Chong melonjak sebagai antara orang terkaya di Australia berikutan kenaikan harga "coking coal" (arang batu kok) yang digunakan untuk menghasilkan besi.

Chong memiliki sejumlah besar saham dalam Jellinbah Resources, syarikat yang mengusahakan dua lombong arang batu dan sedang dalam proses untuk mengusahakan sebuah lombong lagi.

Pengeluaran lombong itu mencapai lapan juta tan setahun, manakala rancangan pembesaran operasinya dijangka melonjakkan jumlah pengeluaran lombong itu kepada 12 juta tan setahun menjelang 2013.

BRW berkata Chong juga banyak mendapat manfaat daripada bijih berkualiti tinggi yang terdapat di kawasan perlombongannya.

"Harga arang batu kok jauh lebih tinggi daripada arang batu yang digunakan dalam penjanaan tenaga elektrik dan permintaan China terhadap bahan itu menyebabkan harganya semakin melonjak.

Selepas bersekolah rendah di Tanah Rata, Cameron Highlands, Chong melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah menengah di Ipoh sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Taiwan.

Pada 1973, beliau mengikuti pengajian peringkat pasca ijazah dalam jurusan kejuruteraan perlombongan di University of New South Wales, Australia.

Setelah tamat pengajian, Chong bekerja dengan beberapa syarikat dan akhirnya menetap di Bowen Basin, Queensland, kawasan yang menghasilkan hampir dua pertiga daripada jumlah arang batu kok dunia.

BRW berkata Chong seolah-olah terpijak permaidani emas apabila beliau bekerja dengan Queensland Coal Mine Management bersama-sama bekas anggota "Rich 200" Jim Gorman dan Ken Talbot pada 1980-an.

"Kehadiran Chong di situ dikatakan tidak ternilai harganya apabila syarikat berkenaan menguasai sejumlah besar deposit mineral dan mula memajukan lombong Jellinbah East," kata majalah itu.

Apabila Talbot meninggalkan syarikat itu dan Gorman pula menjual sahamnya kepada Marubeni Coal dari Jepun, maka tinggallah Chong sebagai seorang sahaja pengarah asal Jellinbah.

Kini, Chong menyandang jawatan pengarah bukan eksekutif Jellinbah sambil menjadi pelabur dalam bidang lain.

"Di samping membina kekayaan daripada arang batu, Chong juga menceburkan diri dalam perniagaan bijih besi dan hartanah," kata BRW.

Beliau menjalin usaha sama dengan Fox Resources untuk membangunkan projek bijih besi di Pilbara, sebuah wilayah di Australia Barat.

Dalam tempoh lima tahun lepas, Chong membeli dua bangunan pejabat di Brisbane dan mendapat kelulusan untuk membina hotel setinggi 33 tingkat berharga A$70 juta di bandar itu.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain