suria

Enam Terbunuh Militan Serang Dua Keluarga di Pakistan

KHAR (Pakistan): Berpuluh anggota militan menyerang dua buah rumah milik warga emas satu puak Pakistan berdekatan sempadan Afghanistan menyebabkan enam orang terbunuh.

Serangan di perkampungan Ziarat Masood dekat daerah Mohmand berlaku sehari selepas pesawat Pakistan mengebom kubu kuat pengganas di daerah itu.

"Sekumpulan pengganas menyerang rumah milik Malik Ghazi Khan dan Malik Ghulab Khan yang merupakan ahli jawatankuansa keamanan tempatan lalu menyebabkan enam penduduk terbunuh dan empat yang lain cedera," kata seorang pegawai tempatan, Zabit Khan kepada pemberita.

Dia mengatakan, jumlah anggota militan tersebut hampir 70 orang dan menggunakan senjata roket, bom tangan dan senapang dalam serangan yang berlaku pada lewat Ahad.

"Mereka yang terkorban merupakan ahli keluarga terdekat termasuk anak-anak lelaki dua warga emas tersebut," katanya.

Malik Ghazi Khan mengalami kecederaan manakala Malik Ghulab Khan tidak berada di tempat kejadian semasa serangan berlaku.

Satu sumber rasmi lain mengesahkan kematian dan mengatakan serangan mungkin dilakukan sebagai reaksi kepada operasi ketenteraan yang dijalankan di Mohmand.

Tentera Pakistan melancarkan serangan udara dan darat dalam operasi mengusir militan dari kawasan Walidad dekat Mohmand pada Sabtu dan seramai 25 anggota militan terbunuh.

Mohmand merupakan salah satu daripada tujuh buah daerah di Pakistan yang sering diserang militan Taliban dan Al-Qaeda yang menyasarkan anggota polis, kepentingan kerajaan dan anggota keselamatan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain