suria

Pembersihan Hutan Ancam Harimau Sumatra-WWF

JAKARTA: Kumpulan pemuliharaan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada Isnin menyeru syarikat konsesi balak agar memberhentikan rancangan pembersihan hutan di Indonesia kerana kewujudan harimau dan anak harimau Sumatera yang terancam telah dikesan di situ oleh kamera infra merah yang dipasang.

Video yang dirakamkan pada bulan Mac dan April di kawasan hutan simpan Bukit Tigapuluh di timur Sumatera itu menunjukkan dua ekor ibu harimau bersama empat ekor anak bersama enam ekor harimau yang lain sedang berkeliaran di kawasan berkenaan.

"Rakaman terbabit berjaya merekodkan jumlah harimau yang paling banyak yang pernah dirakam oleh kami," kata penyelidik harimau WWF, Karmila Parakkasi di dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Kesemua 12 harimau terbabit mendiami kawasan yang mempunyai litupan hutan yang baik, termasuklah satu hutan simpan yang berada di bawah hak milik syarikat Barito Pacific Timber iaitu syarikat yang membekalkan bahan mentah untuk syarikat gergasi Asia Pulp and Paper (APP).

"Video ini menunjukan bukti bahawa betapa pentingnya kawasan hutan di dalam ekosistem dan hidupan liar di Bukit Tigapuluh," kata Pengarah Program Spesies Dan Hutan WWF, Anwar Purwoto.

"WWF menyeru semua syarikat konsesi yang beroperasi di kawasan tersebut untuk memberhentikan rancangan pembersihan hutan dan seterusnya melindungi kawasan yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi," tambahnya.

"Kami juga ingin mendesak pemerintah daerah, wilayah dan pusat untuk mempertimbangkan betapa pentingnya kawasan ini dan kemudian menjadikannya sebagai satu daripada komitmen Kerajaan Indonesia dalam melindungi kepelbagaian flora dan fauna," katanya lagi.

Terdapat kurang daripada 400 ekor harimau sumatera dianggarkan mendiami hutan di Indonesia.

Pencinta alam sekitar mengatakan bilangan haiwan liar yang menyerang manusia semakin ramai disebabkan habitat semulajadi mereka diganggu oleh aktiviti pembalakan dan pengondolan hutan untuk kegiatan manusia. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain