suria

Lee Hsien Loong Ikrar Jaga Kepentingan Rakyat Singapura

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah berikrar untuk menjaga kepentingan rakyat Singapura kerana memberi mandat besar kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk terus memerintah negara.

Beliau berkata para pengundi telah memutuskannya dan beliau "berasa rendah diri" bahawa mereka mengundi kerajaan PAP untuk kembali berkuasa.

"Para pengundi telah memberikan PAP satu mandat yang kukuh dan ia sedar mengenai kekhuatiran dan isu yang diletakkan oleh pengundi.

"Kami dengar suara anda," kata Lee yang dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar pasca kemenangan selepas keputusan pilihan raya umum pada Ahad oleh saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia.

Kerajaan PAP kembali memegang tampuk kuasa dengan majoriti 81 kerusi termasuk lima kerusi yang menang tanpa bertanding.

Ia memberikan kelegaan kepada Lee, yang ingin mendapatkan mandat kali kedua sebagai Perdana menteri.

Walaupun ia merupakan kemenangan besar dalam soal jumlah kerusi, undi popularnya menurun kepada 60.14 peratus daripada 66.6 peratus pada pilihan raya umum 2006.

Ia merupakan satu daripada pertandingan paling sengit dalam sejarah pilihan raya yang menyaksikan persaingan hebat di 82 daripada 87 kerusi di kalangan tujuh parti politik.

Sentimen beralih ke arah Parti Pekerja (WP) dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) pada beberapa hari terakhir kempen dengan cakap-cakap bahawa PAP mungkin tewas tujuh atau lapan kerusi terutama Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya (GRC) Aljunied dan GRC Holland-Bukit Timah.

Tapi akhirnya PAP menang 81 daripada 87 kerusi Parlimen.

Sambil menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai satu titik perubahan, beliau berkata selepas lima tahun yang penuh bermakna, ia adalah "satu dunia berbeza dan Singapura yang berbeza".

Beliau berkata para pengundi bukan orang yang sama dengan begitu ramai pengundi generasi muda dengan pelbagai kelulusan dalam pendidikan selain terdapat penduduk yang telah berusia dengan kebimbangan yang lain.

Katanya semua lapisan rakyat Singapura mempunyai aspirasi yang tinggi dan mereka ingin melihat lebih banyak suara pembangkang di dalam Parlimen untuk "memantau kerajaan PAP."

Sambil mengakui bahawa GRC Aljunied merupakan yang paling sengit persaingannya, Lee berkata: "Saya kecewa PAP tewas walapun telah berusaha."

Beliau berkata hilangnya pasukan PAP merupakan satu "kehilangan besar kepada pasukan Kabinet saya dan Anggota Parlimen", sambil berkata bahawa pasukan Aljunied mempunyai "lima lelaki dan wanita yang hebat".

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan PAP menerima keputusan pengundi kerana berpendapat ia menunjukkan hasrat pengundi sambil berkata bahawa parti itu akan menganalisis keputusan pilihan raya dan "membaiki apa yang perlu dan memperbetulkan apa jua kesilapan. BERNAMA

Artikel Lain