suria

Phuket Bakal Jadi Hab Pelancongan Perubatan Serantau

PHUKET: Setelah sekian lama terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah pulau peranginan yang serba menarik, kini Phuket bakal menjadi hab pelancongan perubatan utama di rantau ini.

Gabenor Phuket Tri Augkaradacha berkata dengan memiliki kemudahan perubatan serba canggih yang menepati standard antarabangsa dan digabungkan pula dengan keunikan layanan warganya serta yuran perubatan yang munasabah, pulau berkenaan boleh dijadikan hab pelancongan perubatan.

Phuket mempunyai tujuh hospital swasta dan kerajaan yang menyediakan lebih 1,000 katil untuk memenuhi keperluan perubatan 6.5 juta pelancong yang mengunjungi pulau ini setiap tahun.

"Rawatan perubatan paling popular dalam kalangan pelancong ialah pembedahan plastik dan penjagaan gigi," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi maklumat terperinci tentang pelancongan perubatan dan hasil yang diraih oleh pulau itu berbanding keseluruhan Thailand, yang menerima 1.5 juta pelancong perubatan dan hasil pelancongan perubatan berjumlah 65 bilion Baht (kira-kira RM6.5 bilion) tahun lepas.

Tahun lepas, Bangkok Hospital yang merupakan hospital swasta terbesar di Asia, memberi rawatan kepada 62,000 pelancong perubatan dari luar negara melalui cawangannya di Phuket.

Timbalan pengarah Bangkok Hospital Phuket, Dr Bodin La-led, berkata jumlah itu merupakan 35 peratus daripada jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Kebanyakan pelancong perubatan yang menerima rawatan di situ adalah dari Britain, Australia, Jerman, Amerika, Perancis, Sweden, Rusia, Itali, Switzerland dan Denmark, kata beliau.

"Kebanyakan pelancong asing datang ke sini untuk mendapatkan rawatan elektif dan alternatif, khususnya berkaitan kesihatan gigi, rawatan kosmetik dan pembedahan plastik, rawatan mata, penggantian tulang pinggul dan lutut serta pembedahan jantung," katanya.

Dr Bodin berkata hospital itu meraih pendapatan satu bilion Baht (kira-kira RM100 juta) daripada pelancongan perubatan tahun lepas dan mengunjurkan pendapatannya akan meningkat 10 peratus pada tahun ini.

"Kami memiliki semua ramuannya - pulau yang indah, kemudahan perubatan bertaraf antarabangsa, bayaran rawatan yang munasabah dan keunikan layanan cara Thailand - untuk menjadikan pulau ini hab pelancongan perubatan di rantau ini,' katanya.

Beliau berkata industri pelancongan perubatan di Phuket kelihatan bangkit semula selepas pulau itu dilanda tsunami pada Disember 2004.

Berikutan kedudukan Phuket sebagai destinasi pupular bagi aktiviti menyelam, hospital milik kerajaan, Vachira Phuket Hospital, menawarkan perkhidmatan istimewa untuk memenuhi keperluan perubatan para penyelam dengan menubuhkan Pusat Perubatan Hiperbarik pada 2002.

"Sebagai contoh, sekiranya seseorang penyelam naik ke permukaan air secara mendadak daripada kedalaman antara lima hingga 10 meter, dia boleh mengalami kerosakan otak.

"Bagaimanapun, penyelam berkenaan boleh sembuh sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan kamar hiperbarik sekiranya dia dibawa ke hospital itu dalam tempoh enam jam berlakunya kejadian," kata Dr Nara Kingkeaw, timbalan pengarah hospital berkenaan.

Beliau berkata bayaran yang dikenakan oleh hospital itu adalah tiga atau empat kali lebih rendah daripada bayaran yang dikenakan hospital swasta dan hospital barkenaan juga menyediakan rawatan terapi oksigen hiperbarik untuk pesakit yang mengalami gangerin gas, barah tekak dan autisme.

Pihak berkuasa Phuket juga mempromosikan pulau itu sebagai destinasi kesihatan penting sebagai sebahagian daripada pakej pelancongan perubatannya.

Pengarah Urusan Sukko Spa Tachapon Tephabutra berkata Sukko Cultural Spa and Wellness Resort milik syarikat itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk urut tradisional, mandian wap herba, sentalan tubuh dan latihan meditasi.

Memandangkan kejadian tsunami pada 2004 masih segar dalam ingatan kebanyakan orang, Gebenor Tri berkata 19 menara amaran tsunami dibina di sekeliling pulau itu dan kemudahan ini diuji setiap bulan untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.

"Pulau seluas 500km persegi ini mengadakan latihan amaran tsunami dan pemindahan sekurang-kurangnya dua kali setahun," katanya.

Beliau berkata pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dan pembinaan projek perkhidmatan rel ringan serta sebuah pusat konvensyen sedang dirancang untuk meningkatkan kemampuan Phuket dalam memenuhi keperluan pelancong yang semakin bertambah. BERNAMA

Artikel Lain