suria

Angkara cinta, nyawa jadi taruhan! Mayat warga Singapura ditemukan bersimen, dicampak dalam sungai

Pihak polis sedang memburu suspek utama pembunuhan seorang lelaki 80 tahun warga Singapura. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan mengerikan apabila mayatnya dijumpai disimen sebelum dibuang ke sungai.

Mangsa, dikenali sebagai Syed Saleh, 80 dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat menaiki sebuah Toyota berwarna biru pada 16 Februari lalu.

Setakat ini polis telah menahan dua suspek yang dikenali sebagai H dan K, manakala seorang lagi suspek utama, dikenali sebagai A, masih diburu pihak berkuasa.

Menurut polis, ketiga-tiga individu tersebut saling mengenali kerana pernah bekerja bersama sebelum ini, dengan A dipercayai menjadi dalang utama pembunuhan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bagor, Indonesia.

Ketua Polis Cilacap, Budi Adhy Buono, berkata pembunuhan dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang juga warga Singapura.

Siasatan mendapati mangsa dipercayai mempunyai perasaan terhadap seorang wanita berusia 40 tahun dikenali sebagai Lina, yang merupakan teman wanita kepada suspek A.

Polis percaya pembunuhan telah dirancang lebih awal apabila suspek menyewa sebuah rumah di Sukabumi kira-kira sebulan sebelum kejadian.

Mangsa dikatakan datang dari Jakarta ke Sukabumi untuk bertemu wanita berkenaan sebelum diarahkan ke rumah sewa tersebut, tanpa mengetahui perangkap yang menantinya.

Setibanya di lokasi, mangsa didakwa dipukul di bahagian leher menggunakan batang buluh oleh suspek H, manakala suspek K menutup mulutnya bagi menghalang jeritan.

Mayat mangsa kemudian dibalut dengan plastik dan cadar sebelum disimen sehingga mengeras.

Suspek dipercayai membawa mayat sejauh kira-kira 100 kilometer ke Cilacap sebelum mencampakkannya ke Sungai Citanduy di kawasan empangan yang telah dikenal pasti lebih awal.

Kes kini masih dalam siasatan polis Sukabumi, manakala usaha memburu suspek utama sedang giat dijalankan. -Agensi

Artikel Lain