suria

Sahut seruan kerajaan jimat bahan api, cikgu PJ ini lari 4km ke sekolah setiap hari

Ahmad Zaki berlari ke sekolah setiap hari. -Gambar Instagram

SEORANG guru memilih berlari ke sekolah setiap hari sejauh kira-kira empat kilometer (km) bagi menyahut seruan kerajaan.

Ahmad Zaki Febiansyah, 34, yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani (PJ) menjadikan aktiviti berlari sebagai rutin harian berbanding menggunakan kenderaan.

Menerusi video vlog di akaun Instagram miliknya, @ahmadzakifebiansyah, Zaki dilihat berlari dari kediamannya menuju ke sekolah dengan mengenakan pakaian seragam guru berwarna coklat.

Menurutnya, perjalanan sejauh empat kilometer itu hanya mengambil masa kira-kira 15 minit 40 saat untuk tiba di sekolah.

Katanya, amalan tersebut bukan bertujuan meraih perhatian, sebaliknya sebagai usaha mengamalkan gaya hidup sihat selain menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan penggunaan pengangkutan cekap tenaga dalam kalangan penjawat awam.

Ahmad Zaki mengajar di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Negeri Kasiman, Jawa Timur, Indonesia.

Melalui pekeliling, penjawat awam yang tinggal dalam lingkungan tujuh km dari tempat kerja digalakkan berbasikal, namun Zaki memilih untuk berlari kerana percaya ia memberi manfaat kepada tahap kecergasan fizikal.

“Saya anggap berlari ke tempat kerja sebagai satu bentuk senaman selain menjadi contoh amalan menjaga kesihatan,” katanya.

Difahamkan, Zaki aktif menyertai pelbagai kejohanan larian dan telah mengumpul kira-kira 75 pingat sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut. 

Selain tugas sebagai guru, beliau turut melatih atlet muda di kawasan setempat. -Agensi

Artikel Lain