suria

Emma Maembong terkilan DJ Kidd umum berpisah secara terbuka, tak tutup pintu jodoh

Emma reda hubungannya dengan Dj Kidd berakhir.

PELAKON Emma Maembong mengakui terkilan apabila bekas kekasihnya dikenali DJ Kidd membuat pengumuman terbuka mengenai status hubungan mereka yang kini sudah berakhir.

Bagaimanapun, Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 34, memilih untuk reda dengan ketentuan tersebut meskipun tidak selesa berkongsi kisah peribadi.

"Kalau boleh saya memang nak mengelak dan tidak suka sangat nak berkongsi, tetapi memandangkan dia pun sudah buat kenyataan, jadi kita ikutlah.

Emma maklumkan perkara itu ketika ditemui media. 

"Adalah sedikit rasa terkilan (bila DJ Kidd keluarkan kenyataan itu), tapi nak buat macam mana kan? Kita tidak boleh kawal hati orang.

"Jadi, apabila perkara ini terjadi, saya pun kena reda dan terima sahaja," katanya kepada mStar.

Emma berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Usanita di Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak lagi bersama dia” – DJ Kidd, Emma Maembong sudah berpisah?

ARTIKEL BERKAITAN: Emma Maembong jaga privasi, tak selesa kongsi kisah cinta... Serah urusan jodoh pada takdir

Walaupun ikatan cinta sudah terlerai, ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan hubungann antara mereka masih berada dalam keadaan baik. 

Malah, Emma tidak menolak kemungkinan jodoh mereka kembali bertaut pada masa hadapan.

"Kami ada berhubung sebab bagi saya, hidup ini singkat sahaja. Saya pun tidak suka bermusuh atau marah-marah. 

Saya kena reda dan terima sahaja.

EMMA MAEMBONG

PELAKON

"Kalau ada jodoh balik, adalah. Kalau tiada, nak buat macam mana kan?" ujarnya.

Mengulas mengenai soal hati, aktres itu menegaskan kegagalan hubungan kali ini tidak membuatkan dia berasa trauma untuk mengenali lelaki lain.

Bagi Emma, setiap pengalaman yang dilalui menjadikannya seorang individu yang lebih matang dalam menilai kehidupan.

Kisah cinta Emma dan Dj Kidd mula mendapat perhatian sejak tahun lalu. 

"Semakin saya besar, semakin saya matang. Setiap orang yang dipertemukan dengan kita itu mesti bersebab.

"Nak trauma itu tak adalah dramatik sangat. Nak cakap trauma pun tak adalah, saya pun dah pernah berkahwin dan pernah gagal juga," ujarnya.

Sebelum ini, DJ Kid mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan bahawa dia kini tidak lagi mempunyai sebarang hubungan serius bersama Emma selepas setahun keakraban mereka menjadi perhatian netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain