suria

Doktor Peribadi Michael Jackson Arah Buang Bahan Bukti

LOS ANGELES: Doktor peribadi Michael Jackson telah mengarahkan seorang rakan muzik raja pop itu supaya membuang semua bahan bukti yang terdiri daripada botol-botol ubat sejurus sebelum pasukan paramedik tiba pada hari beliau meninggal dunia kerana pengambilan ubat-ubatan secara berlebihan.

Mahkamah yang kini sedang mendengar pra perbicaraan kes kematian penyanyi terkemuka dunia itu diberitahu bahawa Dr Conrad Murray, yang dituduh menyebabkan kematian Michael Jackson pada 25 Jun 2009, turut didakwa memberikan bantuan pernafasan ke atas mendiang dalam keadaan yang tidak profesional.

Beliau juga dituduh mengumpulkan beberapa buah botol ubat sebelum membuat panggilan kecemasan 911.

Semua perkara ini dinyatakan oleh Alberto Alvarez, iaitu pengarah logistik untuk Michael Jackson yang bertindak sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan tersebut.

Kata saksi itu lagi, apabila dia memasuki kamar penyanyi tersebut pada hari kejadian, dia melihat Murray sedang memberi bantuan cardio-pulmonary resuscitation (CPR) atau bantuan pernafasan ke atas Michael Jackson yang menurut Alberto sudah pun kelihatan seperti tidak bernyawa.

Katanya lagi, doktor peribadi Michael Jackson itu memberi bantuan CPR hanya dengan menggunakan sebelah tangan.

Doktor itu kemudiannya mengumpulkan beberapa botol ubat-ubatan dan mengarahkan Alberto Alvarez memasukkannya ke dalam sebuah beg plastik.

Beg plastik itu kemudian dimasukkan pula ke dalam sebuah beg besar berwarna coklat, kata saksi tersebut lagi.

"Selepas saya selesai melakukan semua arahan itu, Doktor Murray kemudian mengarahkan saya supaya mengalihkan pula beg yang mengandungi cecair ubat yang digunakan sebagai drip bagi memasukan ubat ke dalam badan Michael," ujar Alvarez.

Semua bahan dan peralatan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah lagi beg yang berasingan dan semua ini dilakukan sebelum mereka menelefon talian kecemasan 911.

Alvarez memberi keterangannya ini di hari kedua pra perbicaraan kes Michael Jackson yang dijangka akan berlangsung selama dua minggu bagi memastikan sama ada Dr Murray wajar menjalani perbicaraan penuh.

Ahli keluarga Jackson seperti ibunya, Katherine dan bapanya Joe, kakak Janet, LaToya dan Rebbie serta abang, Randy dilihat mengikuti perbicaraan hari kedua ini sepenuhnya.

Pada hari pertama perbicaraan, ibunya, LaToya dan seorang lagi abang Jackie kelihatan berada di mahkamah.

Timbalan Pendakwaraya Daerah Los Angeles, David Walgren dalam hujah pendakwaannya berkata, Dr Murray telah memberi Jackson sedatif yang sangat kuat iaitu propofol setiap malam untuk tempoh dua bulan untuk membantunya tidur, pada saat dia sedang bergelut untuk menyiapkan diri dalam konsert jelajah seluruh United Kingdom.

Dr Murray juga didakwa gagal bertindak sebagai seorang pegawai perubatan profesional apabila melengah-lengahkan membuat panggilan kecemasan malah tidak bercakap benar kepada para pegawai paramedik tentang preskripsi ubat-ubatan yang telah diberikan kepada mendiang termasuklah kegagalannya untuk melakukan bantuan CPR dengan sempurna.

Alvarez juga memberitahu mahkamah bagaimana pada hari kejadian ketika memasuki kamar penyanyi itu dia melihat Dr Murray sedang berada di sebelah kanan katil dan dia sedang menekan dada Michael Jackson dalam usahanya untuk memulihkan pernafasan penyanyi itu.

Ketika itu kata Alvarez, mata dan mulut Michael sedang terbuka.

Pada satu ketika katanya lagi, anak-anak Michael Jackson - Paris dan Prince - memasuki bilik itu dan menjerit sebaik sahaja melihat keadaan bapa mereka. Dr Murray lantas mengarahkan anak-anak Michael dibawa keluar dengan segera sambil berkata, "Jangan benarkan mereka melihat bapa mereka dalam keadaan seperti ini..."

Kemudian Timbalan Pendakwaraya David Walgren bertanya Alvarez apakah pada ketika itu Jackson kelihatan masih bernyawa atau sudah meninggal dunia, dia menjawab "kelihatan seperti sudah meninggal dunia, tuan."

Alvarez berkata, akhirnya dia yang menelefon talian kecemasan 911 dan diberitahu oleh operator untuk melakukan bantuan CPR mereka perlu membaringkan Jackson di atas lantai bukan di atas katil.

Dr Murray kemudiannya bertanya siapa di antara mereka tahu melakukan bantuan CPR, dan pada ketika itu, Alvarez mengambil alih memberi bantuan CPR manakala Dr Murray melakukan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut.

Seorang lagi saksi, anggota paramedik, Richard Senneff memberitahu mahkamah bahawa Dr Murray tidak langsung memaklumkan bahawa pesakit telah diberi ubat propofol apabila dia bertanya sama ada Jackson berada di bawah sebarang medikasi.

Ketika ditanya sebanyak dua kali oleh Walgren sama ada doktor itu ada menyebut nama ubat tersebut, dia menjawab, "Tidak, tuan."

Alat pengesan indikasi denyutan jantung kemudiannya dilekatkan pada dada Jackson tetapi tiada sebarang denyutan dikesan pada skrin monitor.

Walgren kemudian bertanya: "Pada pandangan anda apakah orang yang dirawat itu sudah meninggal dunia?" dan Senneff jawab ringkas "Ya."

Jackson kemudiannya segera dibawa ke was Pusat Perubatan Ronald Reagan UCLA yang mana dia diisytiharkan meninggal dunia pada jam 2:26 petang akibat keracunan propofol.

Jackson berusia 50 tahun ketika meninggal dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain