suria

Artis Veteran Hollywood Zsa Zsa Gabor Akan Jalani Pembedahan Potong Kaki

LOS ANGELES: Aktres terkenal Hollywood, Zsa Zsa Gabor telah dimasukkan ke sebuah hospital di sini pada Ahad ekoran komplikasi pada salah satu kakinya yang kini terpaksa dipotong, demikian menurut laporan kabel berita CNN.

CNN telah dilaporkan memetik pegawai seranta Gabor, John Blanchette sebagai berkata, kanser pada kaki kanan pelakon itu telah menjadikan bahagian yang dijangkiti itu kelemayuh atau gangren.

Akibatnya, Gabor, 93, terpaksa menerima hakikat bahawa bahagian yang dijangkiti itu perlu dipotong iaitu dari lutut ke bawah, kata pegawai serantanya itu lagi.

Pelakon popular itu telah dimasukkan ke hospital Julai lalu selepas terjatuh dan mencederakan pinggulnya. Ekoran daripada itu beliau telah menjalani pembedahan untuk membetulkan semula pinggulnya tetapi kemudiannya timbul pula komplikasi lain termasuklah darah beku yang memaksa pihak hospital melakukan pula satu lagi pembedahan lain.

Pelakon keturunan Hungari itu telah mencipta nama dalam pelbagai filem dan siri televisyen antaranya filem asal "Moulin Rouge" pada tahun 1952 dan filem Orson Welles "Touch of Evil" pada tahun 1958.

Beliau juga terkenal kerana cara hidupnya yang ranggi serta melalui pelbagai proses perbicaraan termasuklah berkahwin sebanyak sembilan kali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain