suria

Mahathir Bertemu Manmohan, Eratkan Semula Hubungan Lama

NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru India, kuasa besar ekonomi Asia yang semakin berkembang supaya melibatkan lebih banyak ekonomi Asia Tenggara dan berkongsi pengalaman luasnya dengan negara membangun.

"India belum berinteraksi sepenuhnya dengan negara-negara Asia Tenggara. Terdapat potensi yang luas. India berkembang pesat dalam IT (teknologi maklumat), sebagai contoh, dan ini diperlu negara-negara di Asia Tenggara.

"Ini suatu yang boleh dieksport, bukan hanya produk tetapi pengetahuan. Terdapat banyak golongan berkemahiran di sini yang mungkin mendapati perkhidmatan mereka dihargai di Asia Tenggara," kata beliau kepada Bernama di Delhi.

Dr Mahathir dan Perdana Menteri India Manmohan Singh berkesempatan bertemu pada majlis makan tengah hari di kediaman Perdana Menteri India yang turut disertai menteri-menteri kanan India pada Khamis.

Selepas lebih 15 tahun, Dr Mahathir, bersama-sama isteri Tun Dr Siti Hasmah, berada di India atas lawatan peribadi.

Dr Mahathir, tokoh Asia yang disegani di rantau ini, terutamanya di kalangan intelektual India, memuji perkembangan ekonomi India yang hebat, berubah daripada ekonomi pasaran sosialis kepada sistem lebih terbuka.

"India menjalankan tugas yang baik. India kini amat terbuka dan lebih liberal. Bukan ada halangan tetapi Asia Tenggara tidak mempromosikan dirinya di India. Kami melihat tempat lain," katanya.

Semasa makan tengah hari, Manmohan, sahabat lama Dr Mahathir, berkata beliau mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia melabur di dalam ekonomi India yang berkembang pada kira-kira 8.9 peratus.

"Beliau (Manmohan) mahu melihat lebih banyak pelaburan Malaysia datang ke India, lebih banyak pelabur dan pelawat. Kerajaan kita seharusnya meningkatkan usaha untuk membangunkan bukan sahaja pelancongan tetapi juga perniagaan antara kedua-dua negara. Saya rasa terdapat skop yang luas," kata Dr Mahathir. - BERNAMA

Artikel Lain