suria

Singapura Anjur Persidangan Biofuel Mac Ini

SINGAPURA: Akademia, saintis dan pakar-pakar biofuel antarabangsa akan berhimpun di sini pada Mac ini untuk mengenal pasti ruang-ruang yang menjanjikan masa depan yng cerah bagi biofuel yang berdaya maju.

Pakar-pakar itu akan membincangkan pertimbangan ekonomi dan alam sekitar teknologi biofuel dan penyepaduan biofuel dalam prasarana tenaga sedia ada, manakala akademia, kerajaan dan sektor swasta akan membincangkan dan mengulas penyelidikan dan dasar.

Persidangan selama enam hari yang akan bermula pada 1 Mac itu dianjurkan oleh pertubuhan tidak mencari untung yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Keystone Symposia on Molecular and Cellular Biology, dan Agensi bagi Teknologi dan Penyelidikan Sains Singapura (A*STAR).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, A*STAR berkata persidangan bertajuk "Biofuel" itu akan membincangkan pilihan-pilihan biofuel bagi masa depan yang menjimatkan dan mampan, kelestarian etanol selulos (biofuel yang dihasilkan daripada biojisim bukan makanan), biofuel algae (bahan api yang diperoleh daripada algae), pembangunan bahan mentah biojisim dan potensi pengeluaran biojisim di Asia Tenggara.

Antara penceramah yang tersohor di peringkat antarabangsa pada persidangan itu ialah Dr Adam Brown dari Agensi Tenaga Antarabangsa; Professor Timothy Donohue dari University of Wisconsin-Madison/ Great Lakes Bioenergy; Dr Arthur Grossman dari Solazyme Inc; dan Professor Lonnie Ingram dari University of Florida.

Salah seorang penganjur sudut sains persidangan itu, Professor Stephen P. Mayfield dari University of California berkata satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi oleh manusia hari ini ialah memajukan proses yang cekap dan mampan untuk menukar tenaga suria menjadi makanan dan biofuel yang diperlukan oleh dunia.

"Tiada satu strategi tenaga boleh diperbaharui yang boleh memberi penyelesaian menyeluruh tetapi gabungan strategi yang boleh diselaraskan dan disepadukan dengan berkesan berpotensi untuk mengurangkan pergantungan kita kepada bahan api fosil dengan ketara," tegasnya.

Kata beliau di saat-saat yang kritikal dalam menyusun strategi baru bagi tenaga global, simposium ini akan membincangkan potensi biotenaga yang dihasilkan daripada selulos dan algae sebagai sebahagian daripada masa depan yang lestari bagi dunia.

Keystone Symposia mengadakan pertemuannya mengenai biofuel tahun lepas di AS.

Maklumat lanjut mengenai persidangan itu boleh didapati di www.keystonesymposia.org/biofuels. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain