KATHMANDU: Kesemua 22 penumpang dan anak kapal sebuah pesawat kecil yang terhempas di wilayah pergunungan di Timur Nepal semalam telah disahkan terbunuh, kata polis, Khamis.
Pesawat tersebut membawa tiga anak kapal dan 19 penumpang termasuk seorang warga Amerika terhempas di kawasan pergunung tersebut sebaik sahaja berlepas dari sebuah lapangan terbang kecil 140 kilometer ke Timur ibu negara ini tengah hari Rabu.
"Kami telah menemui 20 mayat mangsa dan masih dalam proses mencari lagi dua," kata jurucakap polis, Bigyan Raj Sharma kepada agensi berita AFP.
Menurutnya lagi, pesawat itu telah berkecai sama sekali dan bangkainya berselerak di sekitar keluasan 200 meter di kawasan yang berhutan tebal.
Punca nahas masih belum diketahui.
Bulan lalu sebuah helikopter terhempat berhampiran Gunung Everest ketika dalam misi menyelamat dua orang pendaki yang terperangkap di pergunungan berkenaan - membunuh juruterbangnya dan juga seorang jurutera.
Manakala pada bulan Ogos pula sebuah pesawat yang dalam perjalanan ke wilayah pergunungan Everest terhempas dalam cuaca buruk mengakibatkan kesemua 14 orang penumpangnya terbunuh termasuk empat warga Amerika, seorang Jepun dan seorang lagi rakyat Britain.
Tara Air yang merupakan operator pesawat yang terhempas semalam adalah subsidiari kepada Yeti Airlines, iaitu sebuah syarikat penerbangan domestik milik swasta yang ditubuhkan pada tahun 1998 yang menawarkan perkhidmatan ke pelbagai destinasi terpencil di negara pergunungan ini.
Insiden terakhir yang melibatkan Yeti Air ialah pada tahun 2008 apabila sebuah pesawat kecil miliknya terhempas ketika cuba mendarat di lapangan terbang Lukla iaitu satu-satunya laluan udara ke Gunung Everest. Nahas itu meragut nyawa 19 penumpang kebanyakan mereka pelancong Jerman.


