suria

Perintah Darurat Mungkin Ditarik Balik Selasa Depan

BANGKOK: Lapan bulan selepas Bangkok dan tiga wilayah sekitarnya diletak di bawah perintah darurat, kerajaan Thailand kemungkinan akan menarik balik perintah itu pada Selasa depan.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata Kabinet boleh meluluskan penarikan balik perintah itu pada mesyuaratnya Selasa depan sebaik sahaja rancangan untuk menangani soal keselamatan selepas itu dimuktamadkan.

Pusat Resolusi Situasi Kecemasan (CRES) tidak mencadangkan penarikan balik perintah itu pada mesyuarat Kabinet hari ini kerana pelan keselamatan selepas penarikan perintah itu belum dimuktamadkan, katanya.

Abhisit berkata kerajaan bersetuju menarik balik perintah darurat di Bangkok, Pathum Thani, Nonthaburi dan Samut Prakan apabila keadaan kembali seperti biasa.

Perintah darurat di Bangkok dikuatkuasakan pada 7 April lalu dan kemudian diperluaskan ke 23 wilayah lain berikutan beberapa siri perhimpunan anti-kerajaan dan kekacauan.

Kerajaan Thailand kemudian menarik balik perinth itu secara berperingkat dengan meninggalkan empat wilayah itu.

Sejumlah 91 orang iaitu 80 orang awam dan 11 anggota keselamatan terbunuh dan lebih 1,800 orang cedera dalam pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan antara 10 April dan 19 Mei lalu.

Pada mulanya, Kabinet dijangka menarik balik perintah darurat di baki empat wilayah itu hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain