suria

Pesuruhjaya Perdagangan Kawasan Eropah Bincang Usaha Susun Semula Matrade

FRANKFURT: Persidangan serantau pesuruhjaya perdagangan Malaysia yang berpangkalan di Eropah, berlangsung selama dua hari bermula 8 Disember bagi membincangkan pelbagai isu terutamanya menyusun semula Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ketua Eksekutif Matrade Datuk Noharuddin Nordin mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung di Frankfurt.

Beliau menjelaskan mengenai strategi baru yang dilancarkan oleh Matrade bagi mencapai sasaran kerajaan yang ditetapkan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Kerajaan mahu mencapai sasaran pendapatan tinggi menjelang 2020. Sektor perkhidmatan menjadi perkara penting bagi kita.

"Tujuan persidangan serantau ini ialah untuk memaklumkan kepada pesuruhjaya perdagangan Matrade mengenai keutamaan kita supaya mereka, dapat menyampaikannya kepada negara hos mereka.

"Pesuruhjaya Matrade juga perlu memahami, apa sahaja yang mereka lakukan, mempunyai kesannya," jelas Noharuddin dalam temu bual dengan Bernama di pejabat Matrade di Frankfurt.

Proses penyusunan semula di Matrade, kata beliau akan menjadikannya lebih mesra industri, membolehkan organisasi menjadi rakan kongsi rapat, terutamanya dalam eksport global.

Penyusunan semula mengikut sektor membolehkan Matrade mendekatkan dirinya dengan industri khusus.

"Penyusunan semula ini juga akan membantu kita lebih memahami industri, dan dengan itu menambah baik eksport, dengan kerjasama erat dengan mereka.

"Industri elektronik dan elektrik, sebagai contoh, merupakan satu sektor yang kita perlu ada kerajsama," kata ketua eksekutif Matrade itu.

Pesuruhjaya Matrade di luar negara akan beroperasi sebagai pakar pemasaran dan mengekalkan hubungan rapat dengan mereka di ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Frankfurt dipilih sebagai venue mesyuarat kawasan Eropah kerana lokasinya di tengah-tengah kawasan.

Persidangan serupa turut diadakan di kawasan lain seperti Hong Kong untuk Asia Timur, Miami untuk Amerika, Afrika Selatan untuk Afrika/Timur Tengah dan Manila untuk Asia Tenggara.

Noharuddin juga melihat semula profil perdagangan Malaysia sepanjang 10 bulan tahun semasa. Tahun lepas kurang memberangsangkan tetapi 2010 menjanjikan tahun yang lebih baik.

"Eksport kita bagi tempoh Januari-Oktober meningkat 18.1 peratus kepada RM 529.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan dalam eksport itu merupakan petunjuk yang menggalakkan.

"Amerika Syarikat masih menjadi pasaran penting, menguasai 9.7 peratus eksport kita pada 2010, walaupun ia menyumbang kira-kira 20 peratus eksport kita beberapa tahun lepas.

"Singapura masih merupakan pasaran terbesar kita manakala China menguasai 12.6 peratus eksport kita. Ia melepasi Amerika Syarikat dari segi penyerapan eksport Malaysia," katanya.

Memandangkan 2010 hampir berakhir, Noharuddin memberi pandangan mengenai tahun akan datang.

"Kita mempunyai beberapa acara penting pada 2011. Kita akan mengadakan pameran perkhidmatan di Abu Dhabi bermula 17-20 April. Kemudian, kita akan mengadakan Pameran Perniagaan India-ASEAN di Delhi.

"Ekspo China-ASEAN akan berlangsung di China dengan Malaysia tumpuan acara itu," katanya.

Noharuddin berkata Matrade kini mempromosikan perkhidmatan minyak dan gas, memandangkan syarikat-syarikat Malaysia menyediakan pelbagai produk yang digunakan oleh sektor itu.

"Sektor perkhidmatan di Timur Tengah sebagai contoh, dahulunya dikuasai pembekal barat dan Jepun tetapi kini sudah berubah.

"Syarikat-syarikat Malaysia juga kini terlibat dalam bidang ini," katanya.

Beliau juga gembira dengan perkembangan perdagangan negara dengan Jerman. Bagi 10 bulan pertama 2010, perdagangan Malaysia dengan Jerman naik 17.5 peratus berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Perdagangan dua hala ialah kira-kira RM31.7 bilion, dengan eksport Malaysia bernilai RM 14.2 bilion. Malaysia dapat mengekalkan kedudukannya sebagai negara pengeksport utama dalam ASEAN ke Jerman.

"Kita cuba mempelbagaikan perkhidmatan dan produk kita di Jerman.

"Kita meninjau industri aeroangkasa yang boleh membeli komponen dan peralatan canggih daripada syarikat-syarikat Malaysia.

"Malah, salah satu syarikat Malaysia berkenaan telah berjaya mencatatkan pencapaian penting dalam industri aeroangkasa Eropah," kata Noharuddin. - BERNAMA

Artikel Lain