suria

TPP Akan Wujudkan Pekerjaan, Bawa Kemakmuran Kepada Malaysia Dan AS

WASHINGTON: Malaysia, antara sembilan anggota Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) yakin yang perjanjian perdagangan itu bukan sahaja akan meningkatkan perdagangan, tetapi turut mewujudkan kerja dan membawa kemakmuran kepada Malaysia dan Amerika Syarikat, demikian menurut Duta Besar Malaysia ke AS Datuk Seri Dr. Jamaludin di sini.

Perjanjian itu akan menghapuskan halangan perdagangan antara kedua-dua negara dan Malaysia akan mendapat manfaat daripada pemansuhan duti 12.4 peratus daripada eksportnya terutama kasut, tekstil dan pakaian, kata beliau.

Malaysia akan turut menikmati penghapusan duti-duti khusus ke atas produk koko, minyak petroleum, produk logam, jam dan jam tangan.

Negara itu menjadi ahli perundingan TPP sepenuhnya yang kesembilan pada 5 Oktober tahun ini, menyertai Amerika Syarikat, Singapura, Vietnam, Brunei, Australia, New Zealand, Chile dan Peru.

Jamaludin memberitahu Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS baru-baru ini yang perdagangan dua hala Malaysia dengan negara-negara anggota TPP berjumlah US$95.26 bilion atau 28.9 peratus daripada jumlah dagangannya dalam tahun 2009.

Rakan dagang utama Malaysia dalam TPP ialah Singapura dan Amerika Syarikat.

Pada bulan Oktober, Wakil Perdagangan AS Ron Kirk memaklumkan kepada Kongres AS yang eksport AS ke Malaysia tahun lepas bernilai US$10 bilion dengan eksport pertanian bernilai US$700 juta.

Penggunaan pakai kerajaan Malaysia terhadap Akta Kawalan Barangan Strategik (Malaysia) ialah satu lagi sejarah hubungan AS-Malaysia, kata Jamaludin di dua sambutan serentak iaitu Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 dan Hari Angkatan Tentera ke-77.

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang jatuh pada 31 Ogos, telah ditangguh kerana bulan Ramadan, Hari Raya dan cuti musim panas.

Akta Kawalan Barangan Strategik yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada 2010 ialah untuk mengawal eksport teknologi dan bahan sensitif dalam usaha memerangi keganasan, percambahan nuklear dan penularan senjata yang boleh menyebabkan kemusnahan besar-besaran.

Pada majlis yang diadakan pada hari Khamis di Kedutaan, Jamaludin berkata ia menandakan satu lagi lembaran dalam kerjasama antara Malaysia dan AS di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama yang pertama kali bertemu di luar majlis Persidangan Keselamatan Nuklear yang kemudiannya diikuti oleh lawatan menteri-menteri Malaysia ke US dan lawatan oleh Setiausaha Negeri AS, Hillary Clinton dan Setiausaha Pertahanan Robert Gates ke Malaysia baru-baru ini.

Terdahulu, beliau memberitahu Bernama yang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berada di Boston atas lawatan persendirian, telah bersetuju untuk menjalankan tugas rasmi beliau di Washington pada bulan Januari dengan mengadakan pertemuan dengan pegawai atasan AS dan para pemipin baru Kongres masa ini yang diketuai oleh Republican, dan mengukuhkan hubungan perdagangan dan dua hala.

Dalam ucapan beliau, Duta Malaysia itu turut maklum yang Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada usaha antarabangsa yang diketuai AS untuk membawa keamanan dan kestabilan di Afghanistan.

Pada bulan Julai, Malaysia telah menghantar kontinjen perubatan militari ke Afghanistan untuk membawa bantuan perubatan yang amat diperlukan di negara itu, terutamanya, wanita-wanita Afghan. - BERNAMA

Artikel Lain