suria

Deng Xiaoping & Mao Zedong Cetus Kontroversi Baru Taiwan

TAIPEI: Sebuah muzium di Taiwan secara kontroversi telah mengeluarkan nama dua orang pemimpin agung Republik Rakyat China -Deng Xiaoping dan Mao Zedong daripada undian secara talian yang dianjurkannya berkaitan 100 orang paling penting dalam sejarah moden China dan Taiwan.

Tindakan itu dilakukan selepas Deng menduduki ranking paling tinggi dalam kategori ketenteraan sekaligus mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat Taiwan.

Muzium tersebut - Academia Historica adalah sebuah muzium milik penuh kerajaan.

Tidak cukup dengan itu, Mao pula diundi menduduki tempat ke-3 untuk kategori kepimpinan politik, lebih tinggi daripada pesaingnya, Ketua Parti Kuomintang (KMT), Chiang Kai-shek iaitu pengasas kepada kewujudan negara Taiwan sekarang.

Kedua-dua Deng dan Mao menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya menentang KMT di tanah besar dalam apa yang disifatkan sebagai perang saudara paling berdarah dalam sejarah moden China yang akhirnya menyaksikan KMT terpaksa meninggalkan China dan membina kubu mereka yang baru di Taiwan yang merupakan sebuah pulau pada tahun 1949.

Seorang pegawai muzium berkenaan kemudiannya memberitahu AFP bahawa nama Deng dan Mao dikeluarkan dari senarai undian pada Rabu selepas pihak berkuasa muzium mendapati adalah tidak kena pada tempatnya untuk menyenaraikan nama kedua-dua pemimpin berkenaan bagi tujuan pengundian tersebut.

Tindakan segera itu diambil selepas Timbalan Menteri Pertahanan Taiwan, Chaou Shih-chang menyatakan rasa prihatinnya di parlimen bahawa adalah tidak kena untuk turut menyenaraikan nama Deng dalam undian tersebut.

Undian itu adalah sebahagian daripada aktiviti sempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Republik China tahun hadapan. Gelaran Republik China adalah gelaran rasmi untuk Taiwan yang dibantah penggunaannya oleh Republik Rakyat China.

Walaupun hakikatnya Republik Rakyat China dan Taiwan telah wujud secara berasingan sejak 61 years yang lalu tetapi Beijing masih menyifatkan pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang sah - hanya menanti masa untuk digabungkan semula termasuklah secara paksaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain