suria

Masa Depan Pelancongan Timur Tengah Dimuatkan Dalam Laporan

DUBAI: Timur Tengah dijangka memperoleh manfaat daripada kemunculan order baru dunia dalam industri hospitaliti dan pengembaraan, demikian menurut laporan baru oleh Deloitte.

Ia berkata wilayah itu akan mempunyai peluang unik untuk menjadi pengubah keadaan dalam industri pelancongan dan pengembaraan, kesemuanya hasil gabungan 150 juta pelawat baharu dari negara baharu muncul - China dan India - dan peluasan berterusan syarikat penerbangan Timur Tengah.

Laporan itu juga menyebut wilayah itu akan memanfaatkan warisan kebudayaan yang kaya serta agama, penduduk muda serta pelaburan besar dalam infrastruktur pelancongan dalam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk, yang diketuai Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

"Dan, wilayah itu juga sudah bersedia untuk muncul sebagai destinasi pilihan pelawat dan pelancong dari seluruh dunia," kata Deloitte dalam laporan bertajuk "Hospitaliti 2015: Berubah atau Menjadi Penonton".

Laporan itu menunjukkan China dan India akan terus menjadi pasaran hospitaliti utama, dan menjelang 2015, negara-negara ini akan mempunyai pertumbuhan pelancongan tahunan yang lebih besar berbanding United Kingdom, Perancis atau Jepun.

Ia berkata pertumbuhan pasaran ini serta rangkaian laluan syarikat penerbangan Timur Tengah, akan mengetengahkan industri pelancongan Timur Tengah dengan peluang pertumbuhan yang luar biasa.

Alex Kyriakidis, rakan pengurusan global pelancongan hispitaliti dan santai di Deloitte, berkata dalam pasaran baru muncul, kebangkitan kelas pertengahan akan memacu permintaan baharu yang ketara untuk perniagaan santai dan hospitaliti.

"Potensi masa depan yang hebat dalam pasaran ini akan bergantung kepada produk jenama ekonomi dan pasaran pertengahan membangun yang disasarkan untuk pelancongan domestik dan dalam mempromosi Timur Tengah sebagai destinasi kebudayaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain