suria

Pengarah Filem "Star Wars: The Empire Strikes Back" Meninggal Dunia

LOS ANGELES: Pengarah filem Star Wars: The Empire Strikes Back, Irvin Kershner, meninggal dunia di kediamannya di sini Isnin.

Mendiang berusia 87 tahun.

Pencipta trilogi Star Wars, George Lucas menyifatkan mendiang sebagai seorang “mentor” dan lelaki budiman yang sebenar.

Kershner, yang juga pernah mengarahkan filem James Bond lakonan Sean Connery dalam “Never Say Never Again” pada tahun 1983 dan filem “Robocop II” pada tahun 1990, untuk sekian lamanya menderita sakit tua, kata cucu angkatnya Adriana Santini kepada agensi berita AFP.

Lucas, mengambil Kershner untuk mengarahkan filem kedua Star Wars pada tahun 1980.

“Dunia telah kehilangan seorang pengarah berbakat besar dan seorang lelaki budiman dalam erti kata yang sebenarnya. Ia adalah satu penghormatan untuk mengenali dan bekerjasama dengan beliau,” kata Lucas dalam satu kenyataan.

Dilahirkan di Philadelphia pada tahun 1923, Kershner dilatih sebagai seorang ahli muzik dan juga jurugambar sebelum mula merakamkan dokumentari dan kemudiannya filem cereka.

Filem “Star Wars:The Empire Strikes Back” adalah filem arahannya yang paling popular dan melonjakkan namanya diikuti filem “Never Say Never Again” tiga tahun kemudian. Mendiang bukan sahaja berkebolehan mengarah malah pernah berlakon. Antaranya dalam filem kontroversi arahan Martin Scorsese berjudul “The Last Temptation of Christ.” Pada tahun 1988.

Lucas pula berkata, beliau memilih Kershner untuk mengarahkan filem kedua Star Wars setelah dia sendiri membuat keputusan tidak mahu mengarahkan filem tersebut kerana tidak mahu filem berkenaan sekadar menjadi sebuah filem sekuel yang biasa tetapi memerlukan seorang yang boleh dipercayai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain