suria

Ultratech Mulakan Operasi Antarabangsa Singapura

SINGAPURA: Ultratech Inc, sebuah syarikat pembekal sistem pemprosesan laser dan litografi yang digunakan dalam pembuatan peranti separa konduktor dan diod pancaran cahaya kecerahan tinggi (HB-LED), dengan rasminya membuka sebuah kemudahan pembuatan maju di Kaki Bukit di sini Isnin.

Ultratech merancang untuk membelanjakan lebih daripada US$125 juta dalam beberapa tahun akan datang bagi menyokong operasi antarabangsa Singapura.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Ultratech, Arthur W. Zafiropoulo, berkata kemudahan itu akan membolehkan Ultratech memenuhi komitmen untuk menampung keperluan pelanggan globalnya dengan teknologi maju dan penyelesaian pembuatan canggih.

Kemudahan itu berupaya menghasilkan lebih 100 pelangkah (stepper) litografi setahun, bagi pasaran pempakejan maju dan HB-LED.

Kemudahan baharu itu juga akan menjadi ibu pejabat bagi operasi perkhidmatan global Ultratech dan pengaturan jualan Asia Pasifik.

Ultratech merancang untuk memulakan pembuatan sistem litografi di kemudahan itu bulan ini dengan penghantaran alat pertama kepada pelanggan dijadualkan dalam suku pertama tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain