suria

Guangzhou Pemenang Besar Sukan Asia

BEIJING: Sukan Asia yang akan tamat pada Sabtu ini telah banyak meningkatkan imej Guangzhou dan semangat kebanggaan di kalangan penduduknya.

Menurut kaji selidik terbaru, lebih 80 peratus penduduk setempat berkata mereka akan menetap di Guangzhou untuk jangka masa yang lama.

Hanya 8 peratus daripada orang yang ditemui tidak merasakan Guangzhou sebagai kediaman kekal mereka.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Ji'nan University itu membabitkan 1,100 penduduk sejak enam bulan lalu.

Kesemuanya telah menetap di bandar itu selama lebih enam bulan.

Kaji selidik itu mendapati, 91.75 peratus berkata, Sukan Asia telah membantu Guangzhou meningkatkan status dan reputasinya, sementara 82.75 peratus berkata, acara itu turut memperbaiki budaya dan industri hiburan bandar itu.

Bagaimanapun, kaji selidik oleh China Europe International Business School pada 2006 dan Ipsos Group pada 2007 menunjukkan indeks kegembiraan keseluruhan Guangzhou adalah yang terendah berbanding 10 bandar utama pada 2005.

Dan tahap kepuasan hati penduduknya adalah yang keenam terendah berbanding tujuh bandar di China pada 2007.

Zhang Lei, Timbalan Pengarah Pusat Sentimen Awam Ji'nan University berkata, lebih ramai penduduk mula mengiktiraf bandar itu selepas menganjurkan Sukan Asia.

"Kemudahan trafik Guangzhou banyak meningkat terima kasih kepada rangkaian keretapi ringan dan metro dipanjangkan," kata Zhang.

Di samping itu, kualiti air dan udara turut meningkat setelah sejumlah besar modal dilaburkan untuk mengurangkan pencemaran.

Hu Zhaonian, pekerja kolar putih berkata, perubahan besar telah berlaku sejak Julai 2004 apabila Guangzhou memenangi bidaan untuk menganjurkan Sukan Asia ke-16.

"Banyak bangunan moden telah dibina, sementara banyak struktur lama diperbaiki," kata Hu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain