suria

Thailand Harapkan Tarikan Pattaya Untuk Pacu Industri

PATTAYA: Biro Konvensyen dan Pameran Thailand (TCEB)mengharapkan Pattaya, antara destinasi tarikan pelancongnya yang terletak 140 kilometer tenggara Bangkok, untuk memacu industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

Pattaya, terkenal kerana pantainya yang indah, kemudahan hotel dan aktiviti liburan yang moden, menarik sejuta pelawat setahun.

Presiden TCEB, Akapol Sorasuchart berkata pasaran pelancongan bandar raya itu yang cergas serta infrastruktur dan hotel dan acara perniagaan yang maju, menjadikannya pemacu utama untuk masa depan industri MICE.

"Bandar raya ini mempunyai kelebihan tersendiri berbanding bandar raya lain di Thailand memandangkan ia menawarkan persekitaran yang cantik. Ia juga mudah dikunjungi kerana perjalanan darat hanya mengambil masa kurang dua jam dari Bangkok dan 10 minit dari lapangan terbang Pattaya, U-Tapao," katanya kepada wartawan Asia dan Eropah semasa lawatan familiarisasi.

Menurut TCEB, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosikan industri MICE, Pattaya mempunyai lebih 40,000 bilik hotel.

"Hotel-hotel ini menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk menganjurkan mesyuarat, persidangan dan insentif.

"Antaranya ialah rangkaian antarabangsa seperti Sheraton Pattaya dan Hard Rock Hotel hingga hotel tempatan seperti The Dusit Thani Pattaya dan The Royal Cliff Beach Resort.

"Pattaya juga merupakan wilayah pertama mempunyai pusat pameran dan konvensyen canggih, Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya (PEACH), berkeluasan 4,851 meter persegi, yang merupakan satu daripada kemudahan disediakan oleh The Royal Cliff Beach Resort," katanya.

Timbalan Pengarah jualan dan pemasaran PEACH dan Royal Cliff Beach Resort, Michael Swart berkata peserta utama adalah dari India, Korea Selatan dan Jepun serta China.

"Warga Eropah juga perlahan seiring dengan krisis kewangan yang sedang dihadapi sekarang ini oleh negara tertentu Eropah tetapi pengunjung MICE dari Asia kurang terjejas.

"Kami di Asia tidak terjejas dengan krisis kewangan global itu," katanya.

Kebanyakan syarikat yang datang ke Pattaya kerana MICE adalah daripada syarikat perubatan, farmaseutikal dan perbankan pelaburan, katanya.

Beliau berkata, kos menganjur mesyuarat, pameran dan konvensyen di Pattaya kompetitif berikutan kelembapan ekonomi global.

"Kosnya lebih kompetitif tidak seperti dua tahun lepas. Tahun depan dijangka stabil," katanya.

Semasa lawatan berkenaan wartawan diberi peluang menikmati pengalaman rawatan spa tradisional Thai, membeli belah dan merasai hidangan makanan laut Thai selain melawat venue MICE.

Pattaya menawarkan kemudahan golf untuk pengunjung MICE, pusat membeli belah, litar go kart dan Nong Nooch Tropical Garden and Thai Village, taman rekreasi, mini zoo dan taman orked serta persembahan tarian tradisional.

Lawatan itu adalah antara program kempen pemasaran "Yakin terhadap Thailand" yang dilancarkan pada Julai untuk merangsang industri acara perniagaan negara berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wabak Taun Haiti Serang Kanak-Kanak

Artikel Berikut

Letupan Gunung Berapi Anak Krakatau

Artikel Lain