suria

Kapal Terbang Kargo Terhempas Di Karachi

KARACHI: Sebuah kapal terbang membawa lapan penumpang terhempas awal pagi Ahad di kawasan perumahan Karachi, bandar terbesar Pakistan dan membakar bangunan-bangunan berhampiran.

Menteri Kesihatan Wilayah, Sagherr Ahmed memberitahu, tiga mayat telah ditemui. Bagaimanapun stesen televisyen Express 24/7 melaporkan 10 penumpang terbunuh dalam kejadian itu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil berkata, kapal terbang itu terhempas sesudah berlepas dari Lapangan Terbang Karachi.

Jurucakap Pervez George berkata, ia merupakan pesawat kargo binaan Rusia yang sedang menghala ke Sudan.

Pesawat itu menghentam bangunan dalam pembinaan di kompleks perumahan tentera laut. Beberapa bangunan yang tidak didiami turut terbakar dalam kejadian itu. Petugas penyelamat terpaksa bertarung dengan api yang marak.

Nisar Ali sedang berada di kediamannya bersama rakan-rakan, satu kilometer dari tempat kejadian. "Pada mulanya kami fikir ia hanya nyalaan api dan kemudian menyedari kapal terbang terhempas," katanya.

Pada 5 November lalu, sebuah pesawat kecil yang disewa sebuah syarikat minyak antarabangsa terhempas setelah berlepas dari lapangan terbang Karachi, mengorbankan kesemua 21 penumpang.

Sementara pesawat penumpang Pakistan yang terhempas dalam hujan lebat berhampiran Islamabad Julai lalu, meragut 152 nyawa penumpang merupakan nahas penerbangan paling buruk dalam sejarah Pakistan. - REUTERS

Artikel Berikut

Guangzhou Pemenang Besar Sukan Asia

Artikel Lain