suria

Kumpulan Baju Merah Adakan Perhimpunan Di Bangkok, Jumaat

BANGKOK: Kumpulan Baju Merah akan mengadakan perhimpunan tiga jam di Monumen Demokrasi di sini esok untuk mendesak pembebasan kira-kira 400 pemimpin dan penyokong Baju Merah yang ditahan sejak 19 Mei dalam tindakan keras ketenteraan.

Pemimpin baru Barisan Bersatu Demokrasi Menentang Diktator (UDD) Thida Thavomseth berkata mereka akan mengadakan perhimpunan itu mulai 5 petang.

Sembilan belas daripada yang ditahan itu berdepan pertuduhan keganasan manakala bakinya kerana mencabuli perintah Darurat.

Sejumlah 80 orang awam dan 11 pegawai keselamatan terkorban dan lebih 1,800 orang cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan tentera bagi tempoh 10 April dan 19 Mei.

Sementara itu, lebih 1,000 anggota polis akan ditugaskan di Monumen Demokrasi untuk mengawal keamanan dan ketenteraman.

Tarikh 10 Disember ialah Hari Perlembagaan Thailand yang menandakan sambutan ke-78 perlembagaan negara berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain