suria

Rundingan Damai Palestin-Israel Diambang Keruntuhan...

JERUSALEM: Proses rundingan damai di Timur Tengah antara Pihak Berkuasa Palestin dengan Israel kini diambang keruntuhan apabila Washington yang sejak sekian lama bertindak sebagai 'orang tengah' mengakui mereka gagal untuk mendapatkan persetujuan Israel untuk menghentikan pembinaan petempatan baru.

Isu berkaitan pembinaan petempatan baru merupakan syarat utama yang diletakkan oleh Pihak Berkuasa Palestin untuk meneruskan rundingan damai.

Agensi berita AFP melaporkan, para pegawai Amerika yang terlibat dalam urusan rundingan damai itu mengakui usaha pihak atasan untuk menyakinkan Israel agar menghentikan usaha berterusan pembinaan petemparan haram di wilayah Tebing Barat tidak berhasil.

Dalam perkembangan terbaru, Kesatuan Eropah secara rasminya mengeluarkan kenyataan bahawa mereka berasa kesal kerana Kerajaan Israel enggan membekukan pembinaan petempatan baru Yahudi sebagai syarat untuk meneruskan rundingan dengan Pihak Berkuasa Palestin.

Isu paling besar yang mengekang kedua-dua belah pihak ialah, tanpa sebarang usaha untuk menghentikan pembinaan petempatan baru Israel itu, Pihak Berkuasa Palestin enggan meneruskan rundingan damai.

"Kami telah berusaha untuk mendapatkan persetujuan penggantungan atau penangguhan pembinaan petempatan baru secara persetujuan bersama sebagai permulaan untuk kedua-dua belah pihak duduk di meja perundingan tetapi nampaknya usaha itu tidak menampakkan sebarang hasil yang positif," kata jurucakap Jabatan Hal Ehwal Negara, Philip Crowley di New York, Rabu.

Dalam reaksi balas, pegawai tinggi Presiden Palestin, Mahmud Abbas pula berkata, kedegilan Israel kini terbukti menjadi penghalang kepada usaha-usaha Amerika untuk menyelamatkan rundingan damai tersebut.

"Sebarang polisi dan daya usaha ung telah dilakukan oleh pentadbiran Kerajaan Amerika menjadi gagal kerana kedegilan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Israel sekarang," kata Yasser Abed Rabbo sebagaimana dipetik dalam siaran radio Suara Palestin.

Wakil-wakil Kerajaan Israel dan Palestin dijangka berada di Washington DC minggu depan untuk berunding secara berasingan dengan pentadbiran Obama bagi mencari jalan yang dapat menghidupkan semula rundingan damai ini, kata Crowley.

Dalam pada itu, AFP turut memetik laporan media Israel bahawa wakil khas Amerika ke Timur Tengah, George Mitchell akan bertemu secara berasingan dengan Ketua Runding Palestin, Saeb Erakat dan wakil Israel, Yitzhak Molho dalam beberapa hari lagi.

AS sejak beberapa minggu lalu cuba menyakinkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu agar menyekat sebarang pembinaan petempatan baru di wilayah yang diduduki, Tebing Barat.

Tempoh 'pembekuan' pembinaan petempatan baru Israel selama 10 bulan telah berakhir 26 September lalu, iaitu beberapa hari selepas bermulanya rundingan damai yang baru - yang pertama melibatkan rundingan secara langsung dalam tempoh dua tahun.

Rundingan damai secara langsung Israel-Palestin bermula pada 2 September lalu selepas 20 bulan tertangguh. Bagaimanapun rundingan secara langsung itu kembali tegang sebaik sahaja tempoh pembekuan pembinaan petempatan baru Yahudi tamat pada 26 September.

Timbalan Speaker Parlimen Israel, Danny Danon, secara terbuka telah memuji Netanyahu kerana tidak tunduk kepada tekanan Amerika.

Katanya, Pentadbiran Obama patut menyedari bahawa satu-satunya cara untuk menjustifikasikan hadial Nobel untuk keamanan yang dimenanginya tahun lalu adalah untuk bekerja secara lebih rapat dengan para pemimpin Israel.

Sementara jurucakap Netanyahu, Nir Hefetz pula dipetik sebagai berkata, pentadbiran Amerika akhirnya memahami bahawa tekanan untuk membekukan aktiviti pembinaan petempatan baru Yahudi bukanlah caranya untuk mencapai perdamaian.

"Kami telah menyatakan dari awal lagi bahawa aktiviti petempatan baru bukanlah akar kepada konflik Israel-Palestin tetapi hanyalah alasan Palestin untuk enggan meneruskan rundingan ini," katanya kepada Radio Tentera baru-baru ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain