suria

Indonesia Ambil Langkah Berjaga-Jaga Menjelang Krismas

JAKARTA: Polis Indonesia akan meningkatkan langkah-langkah keselamatan menjelang sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru untuk mengelakkan keganasan terhadap penganut Kristian di daerah yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Langkah keselamatan itu dibuat ekoran kejadian letupan bom buatan sendiri di sebuah gereja berhampiran Solo, di Jawa Tengah pada Selasa. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ini diikuti dengan penemuan sebuah lagi bom yang tidak meletup di sebuah gereja di kawasan yang sama.

“Menjelang Krismas dan Tahun Baru, kami akan mengetatkan keselamatan untuk ancaman bom yang dijangkakan berlaku dan juga gereja dibakar,” kata jurucakap Polis, Iskandar Hasan kepada pemberita.

“Ketua Polis Negara telah mengarahkan semua anggota polis di seluruh negara untuk bekerjasama dengan gereja dan pihak pentadbiran tempatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga,” ujarnya.

Beliau juga berkata, serangan bom terbabit berkemungkinan dilakukan oleh ‘kumpulan pengganas’, bagaimanapun enggan menuding jari kepada mana-mana pihak sementara siasatan masih dijalankan.

Kerajaan Indonesia telah menahan dan menyabitkan beratus-ratus individu yang dituduh sebagai pengganas sejak pengemboman Bali pada 2002, yang membunuh 202 orang, kebanyakkannya pelancong barat.

Pengeboman di gereja di ibu kota Jakarta dan beberapa bandar telah menyebabkan 19 orang terbunuh dan ramai lagi cedera pada malam sambutan Tahun Baru 2000.

Baru-baru ini, seorang penganut Kristian yang tua dan seorang paderi ditikam semasa dalam perjalanan ke upacara keagamaan di Bakasi, luar Jakarta di mana ketegangan antara penganut agama Kristian dan Muslim memuncak ekoran rancangan pembinaan sebuah gereja Protestan.

Penganalisis keselamatan dan aktivis hak asasi berkata, sikap tidak bertoleransi terhadap agama meningkat di negara itu yang mempunyai penganut agama Islam paling ramai di dunia. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain